KUALA LUMPUR – Sejumlah RM419.2 billion diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 mewakili 19.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan sebanyak 1.7% berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM338.2 bilion atau 80.7% diperuntukkan kepada perbelanjaan operasi manakala baki RM81 bilion untuk perbelajaan pembangunan.
Menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, sebahagian besar peruntukan iaitu 32.1% daripada jumlah keseluruhan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan.
Daripada peruntukan sektor, sebanyak RM155.9 bilion atau 37.2 peratus daripada keseluruhan bajet diperuntukkan kepada sektor social, diikuti sektor ekonomi (RM58.9 bilion);14.1%), keselamatan (RM44.5 bilion;10.6%) dan pentadbiran am (RM20.7 bilion; 4.9%).
Baki sebanyak 33.2% diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.
Peruntukan perbelanjaan operasi yang berjumlah RM338.2 bilion atau 15.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat sebanyak 1.8% daripada belanjawan disemak 2025.
Agihan peruntukan lebih tinggi untuk emolumen, bayaran persaraan dan bayaran khidmat hutang sebahagiannya diimbangi oleh peruntukan lebih rendah untuk subsidi serta perkhidmatan dan bekalan selaras dengan harga komoditi global yang lebih rendah dan langkah rasionalisasi perbelanjaan sedia ada. – MalaysiaGazette
















