KOTA TINGGI – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 melibatkan pelbagai inisiatif yang dikhaskan untuk Johor bakal membantu pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menyambut baik semua inisiatif tersebut dan melihat itu sebagai satu permulaan yang baik.
“Alhamdulillah, kita di peringkat negeri bersyukur dengan apa yang diumumkan perdana menteri. Terdapat beberapa inisiatif khas untuk Johor yang mana ia banyak kepada infrastruktur.
“Bila beliau (perdana menteri) umumkan projek-projek ini, ia akan membantu kita membangunkan lagi JS-SEZ.
“Ini permulaan yang baik dan kita sambut baik dan bantu untuk laksanakan apa yang diumumkan itu supaya ia benar-benar dapat dirasai oleh rakyat Johor,” katanya mengulas Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri semalam.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) Kali Ke-26 di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di sini, hari ini.
Dalam Belanjawan 2026, antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri adalah menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru Fasa 2A : Cahaya Baru ke Sungai Johor untuk JS-SEZ, serta Persimpangan Seksyen 16.0 Jalan Johor Bahru-Kulai dan Jalan Gelang Patah.
Anwar turut menyatakan usaha Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan JS-SEZ bagi membina keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai pintu gerbang strategik Malaysia.
Oleh itu, pelbagai usaha dilipatgandakan bagi memperkasa ekosistem pelaburan di JS-SEZ, antaranya Iskandar Malaysia Facilitation Centre Johor diwujudkan bagi mempercepatkan urusan pelaburan dengan sokongan Johor Super Lane yang mengurangkan tempoh kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT)
Selain itu, Johor Talent Development Council (JTDC) pula menghubungkan institut pengajian tinggi (IPT) dengan industri bagi menambah program pembangunan bakat, peningkatan kemahiran dan penempatan kerjaya bergaji premium.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Onn Hafiz dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen KPYPJ Kali Ke-26 di Kolej YPJ, Kota Tinggi, hari ini.
















