Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 masih dianggap berorientasikan pengembangan (expansionary) tetapi dalam skala yang lebih kecil.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, Belanjawan 2026 menunjukkan kerajaan masih kekal berdisplin dalam pengurusan fiskal.

“Defisit fiskal dijangka menyusut lagi kepada 3.5 peratus peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 berbanding anggaran 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2025.

“Komitmen ini jelas dilihat melalui usaha berterusan untuk mengurangkan jurang bajet negara,” katanya kepada Malaysia Gazette, di sini.

Katanya, ia mungkin didorong oleh unjuran KDNK yang dijangka lebih rendah berbanding tahun ini.

Kerajaan menjangkakan KDNK 2026 berkembang antara 4.0 peratus hingga 4.5 peratus berbanding anggaran 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada 2025.

Jelas beliau, pertumbuhan dipacu terutamanya oleh permintaan domestik yang dijangka berkembang lebih perlahan pada kadar 5.4 peratus pada 2026 berbanding 6.1 peratus pada tahun 2025.

Pertumbuhan tersebut dipacu oleh pengembangan dalam penggunaan swasta daripada 5.0 peratus kepada 5.1 peratus manakala pertumbuhan pelaburan dijangka sederhana daripada 10.6 peratus kepada 7.7 peratus.

Eksport bersih pula dijangka menguncup sebanyak 32 peratus tahun depan, menandakan permintaan luar negara dijangka kekal lemah pada tahun 2026.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan sebanyak RM470 bilion.

Ia merangkumi peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dengan sembilan Tekad Utama dan berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI, Anwar berkata, dokumen yang bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat itu, adalah bukti Kerajaan memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional (national rejuvenation) yang menyeluruh.

Kerajaan mengunjurkan ekonomi dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada tahun 2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast