Presiden KLSICCI,Nivas Ragavan

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai nafas baharu untuk penjaja, usahawan mikro dan perusahaan kecil sederhana (PKS).

Namun pada masa sama menegaskan kejayaannya akan bergantung sepenuhnya kepada kecekapan pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Menurut Presiden KLSICCI, Nivas Ragavan, peruntukan RM50 juta melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) serta geran sehingga RM10,000 kepada 1,000 usahawan mikro menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Langkah ini bukan sahaja menyokong peniaga kecil, tetapi memberi peluang kepada mereka untuk memodenkan operasi dan beralih ke ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Nivas memuji langkah kerajaan memperkenalkan khemah penjaja dan sistem pembayaran QR berasaskan kotak bunyi (sound box) yang akan memudahkan urusan jual beli tanpa tunai.

Katanya, pendekatan itu bukan sekadar memodenkan perniagaan tradisional, tetapi memastikan penjaja dan peniaga kecil tidak tertinggal dalam peralihan ke arah ekonomi digital.

“Sistem kotak bunyi ini memberi kelegaan kepada penjaja setiap kali pelanggan membuat bayaran QR, peranti itu akan mengumumkan jumlah secara automatik. Ia satu simbol kemajuan yang mudah tetapi berkesan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik inisiatif latihan keusahawanan di Penjara Penor dan Taiping yang menurutnya melambangkan dasar ekonomi bersifat kemanusiaan dan memberi peluang kedua kepada individu yang ingin membina semula kehidupan melalui kemahiran dan perusahaan.

Katanya, langkah ini menunjukkan bahawa kerajaan melihat ekonomi bukan sekadar angka, tetapi tentang manusia dan peluang.

Menyentuh sektor PKS, Nivas menyifatkan potongan cukai tambahan 50 peratus untuk latihan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber sebagai langkah ke depan yang akan melonjakkan daya saing PKS Malaysia di peringkat global.

“Ia mendorong syarikat tempatan menerima transformasi digital, automasi dan ekonomi hijau tiga teras penting untuk pertumbuhan mampan,” tambahnya.

Beliau turut mengalu-alukan peningkatan jumlah pinjaman dan jaminan kepada RM50 bilion, termasuk RM2.5 bilion mikrofinans melalui BSN dan TEKUN yang akan membantu lebih ramai peniaga mendapatkan modal.

Katanya, peralihan Bank Negara Malaysia kepada model jaminan pinjaman adalah langkah tepat bagi menarik penyertaan sektor swasta dan mengurangkan risiko kewangan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelewatan dan kerenah birokrasi masih menjadi antara cabaran utama kepada usahawan kecil.

“Ramai PKS gagal bukan kerana tiada dana, tetapi kerana prosesnya lambat dan berbelit. Sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan satu portal pembiayaan PKS tunggal bagi mempercepat dan mendigitalkan akses kepada bantuan,” katanya lagi.

Nivas turut menyarankan agar kerajaan memperkukuh peta hala tuju PKS berorientasikan eksport dan ASEAN, serta menyediakan insentif lebih tersasar kepada usahawan wanita dan belia.

“Kita perlukan program bimbingan jangka panjang dan peningkatan kemahiran (upskilling, reskilling dan multiskilling) untuk memastikan PKS berkembang secara lestari,” ujarnya.

Nivas menegaskan Belanjawan 2026 adalah cerminan kesungguhan kerajaan memulihkan ekonomi rakyat, tetapi keberhasilannya tidak boleh diukur pada jumlah peruntukan semata-mata.

“Cabaran sebenar ialah memastikan setiap ringgit benar-benar sampai kepada usahawan di lapangan. Belanjawan yang baik tidak boleh berhenti di atas kertas ia mesti hidup dalam tindakan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast