Logo Perkeso

KUALA LUMPUR – Inti pati Belanjawan 2026 mencerminkan tekad kerajaan untuk merapatkan jurang keselamatan sosial yang dikesan masih meruncing di sektor tidak formal.

Penyaluran geran padanan LINDUNG Kendiri, dengan penyasaran insentif caruman oleh kerajaan dilaksanakan terhadap 17 sektor yang belum dijadikan mandatori diyakini berupaya membendung kesenjangan hidup lebih 3.12 juta individu bekerja sendiri jika ditimpa musibah.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, dasar kerajaan meneruskan pendekatan geran padanan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2024 berjaya meluaskan liputan keselamatan sosial di sektor tidak formal.

Bagaimanapun, berdasarkan perangkaan terkini, lebih 70 peratus individu bekerja sendiri di Malaysia terdedah kepada pelbagai risiko memandangkan mereka masih berada di luar daripada sistem keselamatan sosial.

“Justeru, keputusan meneruskan padanan caruman ini bukan sekadar meringankan beban caruman untuk golongan bekerja sendiri, malah menunjukkan bahawa kerajaan konsisten dalam melindungi mereka di bawah sistem keselamatan sosial.

“Pendekatan ini juga selari tekad kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar menerusi penyediaan jaringan keselamatan sosial secara menyeluruh yang berperanan sebagai penampan risiko sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026, bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’, semalam turut memperuntukkan geran padanan bagi menampung caruman LINDUNG Kendiri iaitu skim perlindungan sosial PERKESO untuk individu bekerja sendiri.

Peruntukan liputan dilaksanakan di sektor yang belum mandatori, masing-masing berkadar 70 peratus untuk pendaftaran kali pertama dan 50 peratus bagi individu memperbaharui caruman pada tahun kedua.

Selain itu, pengumuman kerajaan untuk PERKESO melengkapkan perkhidmatan rehabilitasi, dengan terbaharu di Pulau Pinang adalah sebahagian usaha ke arah memacu keterangkuman sosial atau ‘social inclusion’.

Keberkesanan rawatan pemulihan PERKESO menggunakan teknologi canggih dan termoden di rantau ini mampu mengoptimumkan kadar guna tenaga dan produktiviti pekerja yang terkesan akibat kecederaan daripada bencana kerja atau ekoran pelbagai masalah kesihatan khususnya penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Malah, perluasan Program Saringan Kesihatan (HSP) kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan adalah bertepatan dengan konsep pencegahan awal terutama NCD yang dilihat menjadi penyumbang utama faktor kemerosotan produktiviti pekerja.

“Hal ini kerana berdasarkan saringan HSP melibatkan 900,000 individu selama lebih sedekad menunjukkan kadar penyakit darah tinggi, diabetes dan hiperkolesterolemia yang tinggi. Secara purata, 59 peratus mempunyai tahap kolesterol yang tinggi manakala 19 peratus lagi masing- masing menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Menerusi saringan yang menjadi sebahagian pendekatan pencegahan primer, intervensi rawatan kesihatan dapat dilaksanakan secara lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko penyakit menjadi lebih parah,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi tujuan merancakkan pasaran buruh, Perdana Menteri juga mengumumkan insentif bernilai sehingga RM1,000 daripada PERKESO untuk pencari kerja atau graduan baharu yang perlu berpindah lokasi penempatan kerana menerima tawaran kerjaya.

Turut diumumkan ialah kenaikan kadar maksimum rawatan hemodialisis PERKESO, dengan implikasi tambahan kewangan sebanyak RM52 juta setahun. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast