KOTA TINGGI – Sebuah daripada dua kenderaan yang terbakar dalam kemalangan mengorbankan tiga nyawa dan dua kritikal di sini pagi tadi, dipercayai sedang membawa rokok seludup.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, rokok berkenaan dibawa dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner yang terbakar itu.
Menurutnya, perkara tersebut disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) turun ke lokasi kemalangan.
Yusof berkata, siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 56 Lebuhraya E22 Senai-Desaru melibatkan tiga kenderaan pada pukul 11.45 pagi.
“Kemalangan melibatkan SUV jenis Toyota Fortuner dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan Honda CR-V dipandu seorang wanita berusia 25 tahun.
“Sementara kereta Volkswagen Golf dipandu seorang lelaki dan tiga penumpang yang semuanya belum dikenal pasti identitinya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kemalangan berlaku apabila Toyota Fortuner masuk ke laluan bertentangan iaitu laluan Desaru menghala ke Senai dan Honda CR-V yang berada di laluan berkenaan tidak sempat mengelak.
Beliau memberitahu, Volkswagen Golf itu pula yang berada di belakang Honda CR-V gagal mengelak dan bertembung dengan Toyota Fortuner.
Jelasnya, semua mangsa yang terlibat kemalangan sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum kenderaan terbakar.
“Siasatan mendapati Toyota Fortuner disyaki membawa muatan rokok seludup,” ujar beliau.
Dalam kemalangan itu katanya, pemandu dan dua penumpang Volkswagen Golf maut iaitu dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Ujarnya, seorang lagi penumpang kenderaan itu dan pemandu Toyota Fortuner cedera parah, mereka kini sedang mendapatkan rawatan di HSI.
“Pemandu Honda CR-V tersebut pula tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Zamiruddin Yaakob 011-391052,” katanya.
Terdahulu portal ini melaporkan kejadian tersebut yang mengakibatkan dua kenderaan berkenaan terbakar.
Tular dalam media sosial beberapa katon rokok bertaburan berdekatan Toyota Fortuner tersebut sehingga menimbulkan tanya tanya dalam media sosial.- MalaysiaGazette
















