Nurul Islam Mohamed Yusoff
Nurul Islam Mohamed Yusoff.

KUALA LUMPUR – Pas Kawasan Shah Alam menyifatkan cadangan agar cukai jualan rokok elektronik (vape) disalurkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sebagai tidak wajar dan mengelirukan.

Ketua Penerangannya, Ir. Nurul Islam Mohamed Yusoff menegaskan, cadangan yang dikemukakan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin dilihat bercanggah dengan pendirian Menteri Besar Selangor sebelum ini yang menyatakan kerajaan negeri sedang merangka langkah penjualan vape secara berperingkat.

Beliau juga menggesa Kerajaan Negeri Selangor mencontohi negeri-negeri lain yang telah mengambil langkah tegas terhadap penjualan vape seperti Kelantan, Johor, Pahang, Perlis dan Terengganu.

“Cadangan tersebut menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri tidak serius dalam melindungi kesihatan rakyat. Selangor tidak boleh menghantar mesej bahawa ketagihan nikotin boleh dijadikan sumber hasil negeri.

“Sedangkan negeri-negeri lain (Kelantan, Johor, Pahang, Perlis dan Terengganu) memahami bahawa kesihatan rakyat lebih utama daripada hasil cukai jangka pendek.

“Sudah tiba masanya Selangor memilih untuk melindungi rakyat, bukan menagih hasil daripada ketagihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jamaliah mengemukakan cadangan tersebut susulan pengumuman Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2026 untuk menaikkan cukai jualan terhadap produk vape.

Menurut Nurul Islam, dakwaan bahawa cecair vape hanyalah “wap air” adalah tidak tepat, memandangkan ia mengandungi pelbagai bahan berbahaya termasuk nikotin, pelarut kimia seperti propylene glycol, serta logam berat seperti plumbum dan nikel yang berpotensi merosakkan sistem pernafasan dan menyebabkan ketagihan kronik.

Tegasnya, semua pihak maklum bahawa penggunaan vape boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan dikaitkan dengan penyakit EVALI (E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury) yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal dan boleh membawa maut.

Kajian antarabangsa turut menunjukkan peningkatan kes penyakit berkaitan paru-paru, jantung dan tekanan darah dalam kalangan pengguna muda, dengan kos rawatan penyakit berkaitan EVALI dianggarkan mencecah RM300 juta setahun.

“Trend penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa kini semakin berleluasa kerana penjualannya terlalu bebas serta dipromosikan secara agresif di media sosial. Produk berperisa seperti buah-buahan dan gula-gula secara jelas menyasarkan golongan muda untuk mencipta ketagihan awal terhadap nikotin,” ujarnya.

Pas Shah Alam juga menggesa kerajaan negeri membatalkan semua lesen jualan vape serta melaksanakan larangan menyeluruh terhadap pengedaran dan penjualan produk itu, terutamanya berhampiran sekolah dan institusi pengajian tinggi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast