KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemilik seekor lembu yang dipercayai menjadi punca kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Pasir Puteh–Telosan, Kampung Jeram, Kelantan tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 12.50 tengah malam apabila seekor lembu melintas jalan secara tiba-tiba sebelum dirempuh oleh mangsa yang menunggang motosikal dari arah Bandar Pasir Puteh menuju ke Telosan.
“Siasatan awal mendapati jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan berkenaan,” katanya hari ini.
Menurutnya, impak perlanggaran menyebabkan mangsa, lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.
Pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Zaizul Rizal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha mengesan pemilik haiwan yang dipercayai berkeliaran di kawasan berkenaan sedang dijalankan.
Beliau turut menasihatkan pemilik haiwan ternakan supaya memastikan binatang mereka tidak dibiarkan berkeliaran berhampiran jalan raya bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















