KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyokong cadangan pengundi Sabah yang berada di Semenanjung dibenarkan mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Cadangan tersebut dikemukana Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung serta Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
Menurut kenyataan bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), ENGAGE, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (Tindak) serta Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), kemudahan itu penting bagi memastikan hak pengundi Sabah yang bekerja atau belajar di luar negeri tersebut tidak dinafikan.
“Hak untuk mengundi mesti dijamin sepenuhnya kepada semua warganegara tanpa mengira lokasi. Sebarang usaha untuk memudahkan rakyat menunaikan hak demokrasi ini harus disokong dan diperkukuh dengan prinsip ketelusan, keadilan dan kesaksamaan,” katanya.
Gabungan itu menegaskan bahawa hak sama perlu diberikan kepada pengundi Sarawak yang berada di luar negeri berkenaan menjelang PRN Sarawak yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada April 2027.
Tanpa kemudahan undi awal atau undi pos, pengundi perantau berdepan dilema sama ada menukar alamat ke kawasan tanpa pertalian, menanggung kos perjalanan yang boleh mencecah RM3,000 untuk pulang mengundi, atau melepaskan hak mengundi kerana kekangan kewangan.
“Seruan anak-anak Borneo dan NGO seperti Bersih untuk memperluaskan hak undi pos sudah bermula sejak PRN Sarawak 2011.
“Namun, 14 tahun berlalu, tiga pilihan raya umum dan enam PRN telah diadakan, nasib pengundi Borneo masih tidak diendahkan,” tegas kenyataan itu.
Gabungan tersebut turut mendesak Anwar menyatakan pendiriannya menjelang PRN Sabah, sama ada menyokong pelaksanaan undi awal atau undi pos bagi memastikan pengundi perantau tidak terus terpinggir daripada proses demokrasi.
SPR juga diminta menyatakan pendirian dalam mesyuarat penentuan tarikh PRN Sabah.
“Jika menolak cadangan ini, rakyat Malaysia dan rakyat Sabah berhak mengetahui alasannya,” tambah kenyataan itu.
Sekiranya SPR bersetuju, pelaksanaan undi pos perlu diusahakan dalam PRN Sabah atau sekurang-kurangnya disertakan dengan jadual pelaksanaan menjelang PRU16 dan PRN Sarawak akan datang.
SPR turut digesa memperincikan pelan jangka panjang bagi menambah baik akses pengundian, termasuk bagi pesakit hospital dan banduan.
Wilfred Madius sebelum ini berkata, SPR wajar mempertimbangkan kaedah undi pos untuk warga Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung bagi setiap PRN sebagai langkah memastikan mereka tidak terhalang daripada menunaikan tanggungjawab serta hak demokrasi. — MalaysiaGazette
















