KUANTAN – Semua hutang awam yang dibuat oleh kerajaan negeri bukan beban tetapi ia bertujuan untuk pembangunan, kata Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim.
Menurut beliau, selagi pinjaman diurus dengan cermat, berstrategi dan berintegriti selagi itu rakyat akan dapat manfaatnya seperti jalan raya yang baik, air bersih sampailah peluang pekerjaan.
“Boleh banding dengan ketara apa yang negeri kita telah capai hingga ke hari ini. Hakikatnya, hutang kerajaan negeri bukan beban tapi pelaburan untuk rakyat dan masa depan negeri.
“Nak mudah faham, hutang kerajaan negeri ni bukan hutang ah long bukan pinjaman suka-suka. Semua pinjaman dibuat ikut undang-undang, diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan tujuannya jelas nak biayai projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), bekalan air bersih, kemudahan asas luar bandar, serta projek pembangunan ekonomi negeri (PKEN),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Kamil berkata demikian menyangkal rekasi kenyataan Pemuda Pas yang mendakwa Pahang satunya negeri Pantai Timur yang mengalami kenaikan hutang awam pada 31 Disember 2024 berbanding 31 Disember 2023.
Manakala Terengganu dan Kelantan pula dikatakan mencatat penurunan, kata sayap parti Pas itu lagi.
Dalam pada itu, Mohd Kamil menambah, setiap hutang ada kawalan ketat, kadar faedahnya adil dan ikut kemampuan negeri nak bayar balik.
“Maknanya, hutang ni dirancang dan tanda kerajaan negeri tahu urus kewangan dengan bijak,” tegasnya.
Beliau menyifatkan dakwaan Pemuda Pas Pahang yang dilihat cuba perdaya dengan persepsi cuba perbodohkan malah tak pernah berhenti mengelirukan rakyat.
Jika dahulu, Pas memainkan isu kononnya kerajaan Pahang tidak Islamik kemudian timbul macam-macam cerita yang mereka cuba tunggang untuk raih simpati politik murahan.
Sekarang, giliran isu hutang awam pula dijadikan modal nak perbodohkan rakyat.
“Sudah sampai masa rakyat tolak politik persepsi dan pegang pada politik fakta,” katanya.
Tambah Mohd Kamil, Pahang sedang melangkah ke depan dengan pentadbiran yang cerdik, berwibawa dan berpandangan jauh dengan hala tuju yang jelas selari dengan aspirasi Pahang 1st. – MalaysiaGazette
















