Pengerusi Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR), Azmi Mohd Tahir bergambar bersama pencarum-pencarum selepas mengadakan mesyuarat bersama-sama Majlis Senator Malaysia (MSM) bagi mewakili pencarum menuntut pengeluaran khas KWSP 2.0 secara bersasar mengikut kategori di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2022

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menyambut baik langkah kerajaan menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan mengerjakan ibadah haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 bermula tahun depan.

Bagaimanapun, Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, ketiadaan pengumuman berkaitan pengeluaran bersasar dianggap mengecewakan.

Jelasnya, ini kerana jutaan pencarum sedang berdepan kos sara hidup yang tinggi, tekanan hutang dan keperluan asas yang semakin menghimpit.

“Rakyat tidak menuntut pengeluaran penuh. Mereka hanya memohon pengeluaran bersasar dan terkawal — contohnya antara RM10,000 hingga RM50,000 mengikut jumlah simpanan Akaun 1. Langkah ini mampu memberi kelegaan kepada mereka yang sedang berjuang menampung kehidupan harian,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, wang KWSP adalah hak pencarum hasil titik peluh mereka sendiri, justeru kerajaan wajar memberikan ruang kepada mereka menggunakan sebahagian kecil simpanan tersebut ketika menghadapi tekanan ekonomi.

Tambah beliau, bahawa langkah pengeluaran bersasar yang pernah dilaksanakan melalui i-Citra dan i-Sinar terbukti tidak menjejaskan kedudukan kewangan KWSP, malah membantu merancakkan semula ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Sehubungan itu, PGIRM menyeru kerajaan agar menilai semula cadangan pengeluaran bersasar KWSP dalam semangat Madani yang menekankan keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan ihsan terhadap mereka yang terdesak.

“Rakyat tidak meminta simpati. Mereka hanya menuntut hak untuk menggunakan wang mereka sendiri pada waktu paling memerlukan,”katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast