Rahmad Mariman

MELAKA – Kerajaan negeri akan memastikan kesemua empat suspek kes rogol pelajar di sebuah sekolah di Alor Gajah awal bulan ini memasuki kelas khas berkaitan ceramah kesalahan jenayah dan syariah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Polis Diraja Malaysia.

Ini bagi memastikan pelajar terbabit memahami kesan undang-undang terhadap salah laku serta mencegah kejadian seumpamanya daripada berulang.

“Proses menjatuhkan hukuman sedang dijalankan oleh polis tapi untuk langkah seterusnya, saya bersama JPN akan menggiatkan usaha lain.

“Antaranya memastikan pelajar ini mendapat pendidikan tambahan melalui ceramah motivasi serta berkaitan kesalahan jenayah dan syariah dan itu adalah paling penting,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menegaskan, sesi khas itu akan dijalankan pada waktu persekolahan sebagai sebahagian daripada intervensi pendidikan dan pencegahan awal terhadap pelajar berisiko.

“Sekiranya ada pelajar yang kita kesan awal berpotensi melakukan kesalahan, kita akan tangani segera supaya perkara sebegini tidak berulang.

“Sebelum ini pun kita dah buat (ceramah) banyak sekolah, cuma kali ini kita akan beri tumpuan lebih kepada kumpulan pelajar menengah,” tambahnya.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, tindakan rotan juga masih dibenarkan di sekolah melalui guru disiplin namun menegaskan peranan ibu bapa juga amat penting.

“Ini bagi memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan kandungan negatif di media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast