Mohd Ridhwan Salamun

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) memandang serius insiden tragik yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Melaka melibatkan kes rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan tiga oleh dua pelajar senior yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Ketua Pemuda DPPNJ, Mohd Ridhwan Salamun, perbuatan tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja merupakan satu jenayah berat di bawah Seksyen 375 dan 376(1) Kanun Keseksaan, malah, merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah pendidikan serta nilai moral yang sepatutnya dijunjung tinggi oleh seluruh warga sekolah.

“DPPNJ menuntut agar siasatan terhadap kes ini dijalankan secara telus, segera dan tanpa sebarang kompromi. Hukuman maksimum mesti dijatuhkan ke atas pelaku bagi memberi pengajaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, kes seumpama itu menuntut satu pendekatan menyeluruh dan dasar bersepadu di peringkat nasional bagi mencegah kejadian sama daripada berulang.

Sehubungan itu katanya, DPPNJ mencadangkan lapan langkah konkrit iaitu pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, memberi latihan khas kepada guru, silibus kesedaran seksual berasaskan nilai, mengadakan program pencegahan komprehensif, melaksanakan hukuman rotan secara terkawal, menyemak semula peraturan disiplin sekolah, membuat pelan tindakan perlindungan pelajar perempuan serta membuat peruntukan khas untuk pemulihan mangsa.

Tambah Mohd Ridhwan, keselamatan dan maruah pelajar adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan, sekolah dan ibu bapa.

“Negara tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penderaan atau jenayah seksual yang berlaku dalam institusi pendidikan. Justeru, semua langkah pencegahan dan pembaikan sistem mesti dilaksanakan segera agar pelajar, khususnya perempuan, dapat menuntut ilmu dalam suasana yang selamat, bermaruah dan bebas daripada ketakutan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast