KUALA LUMPUR – Lelaki yang tular mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging di Bestari Jaya, semalam kini ditahan reman selama enam hari sehingga 18 Oktober 2025.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya masih menyiasat punca lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pekerja am itu mengamuk.
Bagaimanapun menurut beliau, siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang kaitan di antara lelaki tersebut dengan sebarang kes samun.
”Pihak polis menerima panggilan orang awam kira-kira 6 petang pada 12 Oktober lalu memaklumkan seorang lelaki Melayu sedang mengamuk dan membawa pisau pemotong serta mahu menyerang orang awam di Taman Jasa Ijok.
”Pihak polis berjaya menangkap lelaki berkenaan dan tiada kecederaan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azaharudin, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan. -MalaysiaGazette
















