KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh dikenakan penalti sehingga RM190,000 sebulan sekiranya gagal memastikan perkhidmatan itu berfungsi dengan baik.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, syarikat pengendali perlu memastikan perkhidmatan aerotrain beroperasi pada tahap 100 peratus bagi satu tren dan 99.5 peratus bagi dua tren yang beroperasi serentak.
“Mereka (syarikat pengendali) perlu memastikan perkhidmatan aerotrain ini beroperasi pada tahap `tip top’, jika tidak akan dikenakan penalti,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Hasbi (GPS-Limbang) menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkenaan mekanisme pampasan dan penalti yang dikenakan terhadap syarikat pengendali aerotrain sekiranya berlaku gangguan sistem perkhidmatan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan perkhidmatan aerotrain di KLIA beberapa kali mengalami gangguan operasi meskipun baru dilancarkan semula pada 1 Julai lalu.
Gangguan berulang kali dalam tempoh sebulan itu dipersoalkan banyak pihak dan disifatkan tidak boleh diterima memandangkan perkhidmatan tren tanpa pemandu itu kembali beroperasi selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta selepas penggantungan operasi selama 28 bulan.
Sementara itu, kepada soalan berkenaan kesan terhadap reputasi dan imej negara serta KLIA ekoran kekerapan gangguan aerotrain tersebut, Hasbi bagaimanapun berkata, perkhidmatan itu ketika ini tidak lagi berdepan gangguan dan sudah beroperasi pada tahap 100 peratus.
Dalam masa sama, jelasnya, pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga terus bekerjasama dengan kontraktor bagi memastikan operasi perkhidmatan tren tersebut sentiasa berada pada tahap maksimum.
“Selain itu, pakar dan jurutera dari Perancis juga sentiasa bersedia untuk memastikan perkhidmatan aerotrain ini berjalan dengan sempurna,” katanya. – MalaysiaGazette
















