Heng Hua Kian didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang pengarah syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap seorang peguam wanita dengan niat menimbulkan ketakutan, bulan lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh Heng Hua Kian, 45,  membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan bermula hari ini, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap peguam bela dan peguamcara, Lim Sing Ghee, 36, dengan menghantar mesej yang mengancam akan mendatangkan kematian kepadanya, dengan niat menimbulkan ketakutan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Home Taste, Lebuh Macallum di sini, jam 5.33 petang pada 29 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan tersebut memberi kesan traumatik kepada mangsa dan melibatkan ancaman serius.

Namun, peguam bela tertuduh, Koay Chun Hian, dalam rayuannya memohon hukuman denda ringan dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga, menjaga ibu bapa serta tiga anak perempuan yang masih bersekolah.

“Anak guam saya juga sedang menghadapi proses perceraian dan menerima rawatan psikiatrik. Beliau menghadapi tekanan emosi yang berat ketika kejadian berlaku. Selain itu, pengakuan salah ini juga telah menjimatkan masa dan kos mahkamah,” katanya.

Chun Hian turut menyatakan anak guamnya memohon maaf kepada mangsa atas trauma yang dialami.

Difahamkan bahawa mangsa dalam kes ini merupakan peguam bela yang mewakili isteri tertuduh dalam kes penceraian mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast