KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mencadangkan kerajaan segera menggubal dan membentangkan Dasar Sekolah Selamat bagi menjamin keselamatan murid di institusi pendidikan seluruh negara.
Beliau berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat yang menyeronokkan dan selamat buat pelajar, bukan sebaliknya menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada semua pihak.
Jelasnya, isu keselamatan pelajar kini semakin meruncing dan wajar ditangani dengan lebih tersusun oleh Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk membina naratif yang tepat agar tidak menimbulkan kegusaran awam.
“Saya rasa hari ini menjadi kebimbangan semua pihak, keselamatan di sekolah, kita nak sekolah kita ni rasa selamat dan dilihat selamat.
“Apa pandangan Indera Mahkota, kalaulah kita cadangkan kepada kerajaan supaya segera untuk menggubal atau membentangkan dasar sekolah selamat kerana hari ini keadaan itu sangat meruncing.
“Kalau Kementerian Pendidikan tidak mampu mengurus krisis ini dengan baik, saya cadangkan kementerian itu dipimpin oleh individu yang lebih kompeten,” katanya ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2026 oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.
Cadangan itu dilihat sebagai gesaan tegas kepada kerajaan supaya memastikan sekolah benar-benar menjadi ruang pembelajaran yang selamat, positif dan menyeronokkan buat semua pelajar. – MalaysiaGazette
















