Oleh: Ismail Hashim Yahaya
APABILA dunia menumpukan perhatian kepada Sidang Kemuncak Damai Gaza 2025 di Sharm El Sheikh, Mesir pada 13 Oktober 2025, ramai rakyat Malaysia meluahkan rasa hairan dan emosi: mengapa negara yang selama ini begitu lantang mempertahankan Palestin tidak dijemput menghadiri sidang yang kononnya mahu mencari jalan damai?
Dalam media sosial, muncul tuduhan bahawa perjuangan Malaysia tidak dihargai bahawa suara Kuala Lumpur diketepikan bahkan ada yang menuduh perjuangan kerajaan selama ini tidak bererti atau sia-sia.
Namun di sebalik segala reaksi beremosi itu terdapat realiti diplomatik dan prinsip yang jauh lebih mendalam bahawa Malaysia tidak dijemput bukan kerana dilupakan tetapi kerana konsisten mempertahankan prinsip bahawa Israel adalah rejim penjajah yang tidak wajar diiktiraf. Sejak kemerdekaan, Malaysia memegang pendirian yang jelas dan tegas: tidak mengiktiraf Israel dalam apa jua bentuk hubungan rasmi.
Tiada kedutaan, tiada hubungan perdagangan rasmi, tiada pertukaran diplomatik. Ini bukan keputusan politik sementara sebaliknya dasar luar yang berasaskan prinsip keadilan dan kemanusiaan. Malaysia melihat penubuhan Israel dan penjajahan terhadap Palestin sebagai bentuk penindasan moden yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.
Maka dalam sebarang sidang antarabangsa yang menampilkan kehadiran Israel walau atas nama “damai”, Malaysia secara automatik tidak dapat menjadi peserta rasmi. Dalam konteks undang-undang diplomatik antarabangsa pengiktirafan merupakan pra-syarat asas bagi penyertaan bersama. Sesebuah negara yang tidak mengiktiraf pihak lain tidak boleh duduk di meja rundingan yang sama tanpa menjejaskan kedudukannya secara prinsip.
Jika Malaysia hadir di Sharm El Sheikh, sedangkan pegawai Israel turut berada di situ ia boleh ditafsirkan oleh masyarakat antarabangsa sebagai pengiktirafan tersirat. Ini akan menggugat dasar luar Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada identiti negara selama lebih enam dekad. Maka walaupun kelihatan seperti satu “ketiadaan,” ia sebenarnya tindakan diplomatik yang berhati-hati dan berprinsip.
Lebih penting Malaysia tidak menolak rundingan damai tetapi menolak bentuk damai yang tidak berteraskan keadilan. Sidang Sharm El Sheikh yang dianjurkan bersama oleh Mesir, Jordan, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dikatakan berasaskan “pelan damai 20 perkara”. Namun pelan itu memberi penekanan kepada gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan tanpa menyentuh isu teras seperti hak kembali pelarian Palestin, pengunduran penjajahan Israel dan pengiktirafan penuh terhadap negara Palestin yang merdeka.
Malaysia, di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa pelan seperti itu hanyalah damai tanpa keadilan bahkan sekadar sekadar menutup luka tanpa mengubati puncanya. Oleh itu kerajaan memilih untuk tidak menyokong sidang tersebut secara rasmi dan tidak hadir, agar tidak dilihat sebagai mengesahkan pendekatan yang mengabaikan hak sebenar rakyat Palestin.
Pendirian ini bukan baru; ia konsisten dengan dasar luar Malaysia sejak era Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman hingga kini. Namun ramai rakyat awam tidak mengetahui konteks sebenar ini. Ketiadaan penjelasan awal menyebabkan wujud kekeliruan yang cepat berubah menjadi kemarahan.
Ramai menyangka Malaysia “tidak dihargai,” sedangkan hakikatnya Malaysia tidak boleh dijemput atas sebab prinsip. Negara-negara yang hadir di Sharm El Sheikh — seperti Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi semuanya mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel. Malah Mesir merupakan negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada tahun 1979. Mereka mempunyai ruang protokol untuk duduk bersama wakil Israel, manakala Malaysia tidak.
Apalah gunanya Malaysia menghantar Sumud Flotilla ke Gaza — satu misi kemanusiaan yang menegakkan prinsip hak asasi dan menolak normalisasi penjajahan — jika dalam masa yang sama kita menghadiri Sidang Damai Sharm El Sheikh yang turut dihadiri Israel kerana tindakan itu akan mencemarkan konsistensi moral Malaysia yang selama ini memperjuangkan Palestin.
Ia bukan sekadar melalui diplomasi tetapi melalui keberanian dan solidariti kemanusiaan yang tidak tunduk kepada permainan politik kuasa besar. Penglibatan Malaysia dalam gerakan kemanusiaan Global Survival Fund (GSF), bantuan NGO Islam tempatan dan solidariti rakyat di jalanan menunjukkan bahawa perjuangan ini tidak bergantung kepada kerusi rundingan lebih mendalam lagi kepada kekuatan moral dan tindakan nyata.
Dalam hubungan ini Malaysia sedang membina model diplomasi alternatif yang berpaksikan hati nurani dan kesedaran sejagat, bukan kuasa dan keuntungan.
Kekeliruan awam ini turut diperkuat oleh emosi solidariti terhadap Palestin. Bagi rakyat Malaysia, isu Palestin bukan sekadar isu luar negara lebih jauh lagi merupakan sebahagian daripada identiti moral dan keagamaan bangsa. Apabila melihat penderitaan rakyat Gaza yang dibom tanpa belas, ramai mahu melihat Malaysia berada di barisan depan walau dalam bentuk simbolik seperti kehadiran di sidang damai.
Namun diplomasi bukan hanya soal kehadiran fizikal; ia juga melibatkan keseimbangan prinsip, undang-undang dan mesej yang mahu disampaikan. Malaysia memilih untuk berdiri dengan maruah, bukan tunduk kepada protokol yang boleh disalah tafsir. Kritikan terhadap kerajaan dalam hal ini lebih bersifat emosi kerana ramai melihat hubungan antarabangsa melalui lensa sentimen, bukan realiti geopolitik.
Dalam sistem dunia yang dikawal kuasa besar, banyak sidang damai disusun bukan untuk menyelesaikan konflik sebaliknya untuk mengawal naratif politik global. Malaysia sedar bahawa kehadiran ke sidang seperti itu tidak semestinya memberi ruang untuk bersuara dengan bebas. Maka kerajaan memilih untuk terus memperjuangkan Palestin melalui platform lain yang lebih sejajar dengan prinsipnya seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Perhimpunan Agung PBB, dan diplomasi kemanusiaan di lapangan.
Anwar sendiri telah menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengubah pendiriannya: selagi Palestin belum bebas dan Israel terus menjajah, Malaysia tidak akan menormalisasi hubungan diplomatik. Ini sejajar dengan prinsip Islam Madani yang menjadi asas doktrin politik beliau — gabungan antara rahmah, keadilan, dan kebijaksanaan. Dalam pendekatan ini, Malaysia menolak kekerasan, tetapi menentang ketidakadilan; menolak keganasan, tetapi menegakkan hak rakyat yang tertindas.
Pendekatan sebegini mungkin tidak popular di kalangan kuasa besar, tetapi memberi Malaysia kedudukan moral yang tinggi di mata dunia Islam dan Global South. Ironinya ketidakhadiran Malaysia di Sharm El Sheikh sebenarnya menonjolkan integriti diplomatiknya. Negara ini tidak mahu menjadi sebahagian daripada sidang yang menormalisasi penjajahan.
Sebaliknya, Malaysia terus berdiri di sisi prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Ramai pemerhati politik Timur Tengah menyifatkan langkah ini sebagai “pendirian konsisten yang dihormati,” meskipun tidak diraikan secara terbuka. Dalam dunia diplomasi moden yang penuh kepura-puraan, ketegasan moral seperti ini semakin jarang — dan Malaysia menjadi antara sedikit negara yang masih berani menolak normalisasi sebagai bentuk penentangan bermaruah.
Oleh itu, apabila ada suara yang mengatakan bahawa perjuangan Malaysia “tidak dihargai,” kenyataan itu sebenarnya separuh benar dan separuh silap. Benar, Malaysia tidak mendapat tempat di sidang damai yang besar dan berprofil tinggi; namun itu kerana Malaysia memilih untuk tidak menggadaikan prinsip demi pengiktirafan simbolik. Dalam sejarah diplomasi, negara yang paling jujur terhadap prinsipnya sering kali berdiri sendirian tetapi suaranya kekal bergema lebih lama daripada sidang-sidang yang diatur oleh kuasa besar.
Akhirnya persoalan ini bukan lagi tentang siapa yang dijemput, tetapi siapa yang benar-benar berjuang untuk keadilan Palestin. Malaysia mungkin tidak berada di meja rundingan Sharm El Sheikh, tetapi ia berada di hati rakyat Palestin dan dunia Islam sebagai negara yang tidak pernah tunduk kepada tekanan politik dunia. Tidak dijemput bukan tanda kelemahan — sebaliknya, tanda Malaysia memilih jalan yang sukar tetapi benar: jalan yang menolak kompromi moral demi maruah kemanusiaan.

Penulis adalah penganalisis geopolitik dan hubungan dan mantan pensyarah yang mengajar kursus perhubungan antarabangsa di Universiti Selangor















