GEORGE TOWN – Parti Gerakan menuntut tindakan segera dan pembaharuan menyeluruh dalam dasar serta kandungan pendidikan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat susulan peningkatan membimbangkan kes keganasan di sekolah.
Timbalan Ketua Wanita Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Heng See Lin berkata, tahap keselamatan sekolah berada pada tahap amaran merah susulan beberapa insiden tragis baru-baru ini termasuk kes buli maut pelajar perempuan 13 tahun di Sabah, kes rogol berkumpulan di Melaka serta insiden terbaru membabitkan seorang pelajar sekolah mati ditikam di Selangor.
Tegasnya, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu menyemak semula dasar sedia ada dengan segera dan tidak lagi bersikap keliru atau teragak-agak dalam menangani isu keselamatan pelajar.
“Keputusan awal Menteri Pendidikan yang membenarkan pelajar terlibat kes rogol menduduki peperiksaan atas alasan mengutamakan pendidikan serta sokongan emosi sahaja tidak mencukupi tanpa tindakan konkrit mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Kerajaan perlu memperkukuh institusi serta mewujudkan mekanisme tindak balas yang lebih berkesan,” katanya selain menzahirkan takziah dan simpati kepada semua mangsa dan keluarga yang terkesan.
Mengulas lanjut See Lin menyarankan garis panduan keselamatan sekolah yang akan diterbitkan Disember ini merangkumi sistem amaran awal antara guru dan kaunselor serta pendidikan seks yang menyeluruh melibatkan isu persetujuan seksual, keselamatan siber dan hormat terhadap orang lain.
“Pendidikan bukan sekadar meluluskan peperiksaan tetapi membentuk pelajar menjadi insan berakhlak dan berperikemanusiaan.
“Negara-negara seperti Jepun dan United Kingdom telah lama memperkukuh pendidikan seks dan anti-buli jadi Malaysia juga tidak boleh ketinggalan,” katanya. – MalaysiaGazette
















