KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk melaksanakan kempen kesedaran yang menyeluruh di semua institusi pendidikan seperti mana yang dititahkan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia, semalam.
Kementerian itu berkata, ia akan melihat kepada keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak) selain bakal bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia bagi melaksanakan kajian pengaruh media sosial kepada murid.
“KPM merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berhubung keperluan untuk mewujudkan persekitaran selamat di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM untuk menangani isu salah laku seksual yang memberi implikasi negatif kepada seluruh masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPM menambah, keprihatinan Raja Zarith Sofia menzahirkan pelbagai pandangan berkenaan isu sosial dan langkah-langkah untuk menanganinya menjadi panduan kepada Kementerian untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di institusi pendidikan.
Semalam, Malaysia Gazette melaporkan, baginda menitahkan KPM untuk melihat kepada keberkesanan modul di bawah kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDak) di bawah kelolaan Johor Women’s League (Jewel) yang dilancarkan pada Mei 2017.
Kempen tersebut memfokuskan kepada perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.
Baginda turut menzahirkan perkenan untuk membantu dalam perkara tersebut selain menitahkan Universiti Teknologi Malaysia menjalankan satu kajian mengenai pengaruh media sosial ke atas murid dan pelajar. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















