KUALA LUMPUR – Penambahan kuota daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) masih tidak mencukupi khususnya di kawasan bandar utama seperti Lembah Klang; Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Sehubungan itu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dalam satu kenyataan menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) segera turun padang dan membuat kajian semula secara menyeluruh dengan melibatkan wakil industri termasuk persatuan pemandu.
Menurutnya, dasar subsidi yang tidak berasaskan corak kerja sebenar ekonomi gig hanya akan menambah tekanan kepada pemandu yang bergantung pada pendapatan harian untuk menyara keluarga.

“Pemandu bukan meminta simpati, mereka menuntut keadilan dalam pelaksanaan dasar. Subsidi yang gagal sampai pada kumpulan sasar bukan lagi bantuan, tetapi satu bentuk pengabaian kepada rakyat,” katanya.
Bermula semalam, pemandu e-hailing sepenuh masa mula menerima tambahan 300 liter subsidi petrol menjadikan keseluruhan yang diterima mereka menerusi BUDI95 sebanyak 600 liter sebulan.
MoF dalam satu kenyataan berkata, keementerian itu telah menyemak silang data bersama APAD dan mendapati lebih 53,900 pemandu e-hailing menerima kenaikan siling petrol bersubsidi tersebut.
Sementara itu, Penghantar turut menyifatkan kerajaan gagal membezakan antara subsidi petrol untuk kegunaan peribadi dan kuota bahan api bagi tujuan pekerjaan, sedangkan perbezaan tersebut memberi kesan terus kepada pendapatan ribuan pemandu e-hailing.
Realitinya, tambahnya, pemandu e-hailing menggunakan kenderaan yang sama untuk bekerja dan kegunaan harian keluarga.
“Polisi yang tidak memisahkan dua keperluan ini jelas tidak berpijak pada realiti industri,” katanya. – MalaysiaGazette
















