KUALA LANGAT – Polis menasihati orang awam agar tidak menghampiri atau memasuki kawasan bencana akibat ribut di Kuala Langat tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Suprintendan Mohd Akmalrizal Radzi juga mahu orang ramai untuk tidak menganggu operasi pembersihan dan penyelamatan yang sedang dijalankan oleh agensi-agensi terlibat.
Menurutnya, usaha pembersihan dan pemotongan pokok secara bergotong-royong masih dijalankan hari ini di kawasan di terjejas akibat bencana iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Dewan Wawasan Batu 9, kampung Medan, Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9, Kampung Medan dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
Semalam kejadian ribut dan puting beliung telah berlaku di sekitar kawasan Telok Panglima Garang mengakibatkan kerosakan pada lima buah sekolah, sebuah dewan orang ramai dan kira-kira 40 buah rumah.
Berikutan bencana itu, seramai 11 murid SRA Kampung Medan cedera ringan dengan lima dirawat di Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang manakala enam dibawa pulang oleh keluarga.
“Seorang lelaki cedera di mata dan seorang perempuan patah kaki akibat dihempap besi, kedua-duanya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.
Pegawai Daerah Kuala Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah mengisytiharkan bencana tahap 1 dan membuka Pusat Pemindahan Sementara semalam bagi menempatkan lapan keluarga yang terjejas akibat bencana tersebut. – MalaysiaGazette
















