Dua lelaki ditahan kerana mencuri kabel loji rawatan air di Ladang Unijaya, Sri Lalang di Kluang, malam tadi

KLUANG – Keasyikan dua lelaki yang sedang mencuri kabel loji rawatan air di Ladang Unijaya, Sri Lalang, di sini, terbantut apabila dicekup polis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut disedari seorang lelaki sebelum membuat aduan kepada pihaknya.

“Susulan itu sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Sri Lalang telah berjaya membuat tangkapan ke atas pada pukul 8.52 malam.

“Mereka merupakan dua lelaki warga tempatan berusia 24 dan 31 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil tangkapan itu, sebuah motosikal, satu unit pemotong besi dan segulung kabel berjaya dirampas daripada kedua-dua suspek.

Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau namun ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine.

Bahrin berkata, kedua-dua tangkapan mengaku melakukan kecurian di ladang berkenaan dan dikenakan tahanan selama empat hari bermula hari ini.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast