KUALA LUMPUR – Kejadian rogol berkumpulan di sebuah sekolah di Baling, Kedah mencerminkan kelemahan sistem perlindungan serta pengawasan sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia, kata Putra MIC Negeri Kedah.
Ketua Putera MIC Bahagian Sungai Petani, Sharvin Elongkovan berkata, setiap kali timbul kes melibatkan buli, rogol atau penderaan (BRP), KPM hanya mengulangi tindakan yang sama iaitu menjalankan siasatan dalaman, penubuhan jawatankuasa khas dan membuat kenyataan sementara tanpa reformasi dasar yang menyeluruh.
Kelewatan KPM untuk bertindak menurut beliau, bukan sekadar kelemahan pentadbiran tetapi satu bentuk kelalaian institusi.
“Sehubungan itu, Putera MIC Kedah menggesa agar Kementerian Pendidikan segera melaksanakan Dasar Sekolah Selamat yang menyeluruh dengan pelaporan wajib kepada pihak berkuasa, penubuhan unit perlindungan pelajar di peringkat daerah, latihan wajib kepada guru untuk mengesan penderaan, serta penyediaan bantuan psikososial dan pemulihan kepada mangsa.
“Kementerian juga harus mengeluarkan laporan tahunan yang telus mengenai kes jenayah seksual di sekolah serta tindakan undang-undang terhadap pelaku.
“Langkah-langkah ini mesti dijadikan dasar tetap, bukan sekadar reaksi selepas tragedi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak meningkat sebanyak 53.2% daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada 2024, dengan jumlah mangsa meningkat kepada 3,988 orang.
Angka tersebut menggambarkan bahawa pelajar kini semakin terdedah kepada risiko penderaan seksual termasuk di kawasan sekolah yang sepatutnya menjadi zon selamat.
Sehubungan itu, Putera MIC Kedah menegaskan bahawa keselamatan pelajar mesti dijadikan keutamaan nasional kerana sekolah bukan hanya tempat menimba ilmu, tetapi institusi yang memikul amanah membentuk masa depan negara.
Tegasnya, tragedi di Baling menunjukkan bahawa sistem semasa telah gagal memberikan jaminan asas keselamatan pelajar.
“Sebagai contoh, United Kingdom melaksanakan dasar tegas melalui Keeping Children Safe in Education (KCSIE), yang mewajibkan semua sekolah melapor sebarang tanda penderaan atau eksploitasi seksual kepada pihak berkuasa.
“Di bawah dasar ini, setiap guru dan pentadbir dianggap “penjaga sah keselamatan murid” dan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika gagal bertindak,” ujarnya lagi.
Jelas Sharvin, pendekatan berasaskan akauntabiliti dan pelaporan wajib ini terbukti menurunkan kadar penderaan kanak-kanak di sekolah secara signifikan dan menjadi model keberkesanan dasar pendidikan berasaskan tanggungjawab bersama.
Malaysia katanya, mesti berani mencontohi langkah sedemikian dengan keberanian politik dan pelaksanaan yang tegas, bukan hanya bertindak selepas tragedi berlaku.
Perlindungan pelajar mesti menjadi dasar utama, bukan reaksi sementara. -MalaysiaGazette
















