JOHOR BAHRU – Pasukan hoki remaja negara, Young Tigers nekad bangkit dan fokus berdepan India bagi aksi keempat Kejohanan Piala Sultan Johor 2025 (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, esok.
Ketua jurulatihnya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, walaupun tewas 1-4 kepada Great Britain dalam perlawanan semalam, ‘tragedi’ itu tidak sekali-kali merentap semangat mereka.
Malah katanya, pertembungan dengan India akan menjadi medan penting untuk pasukan negara beraksi sebaik mungkin dan memperbaiki kelemahan yang dikesan ketika aksi menentang Great Britain.
“Lawan India, kami akan menggunakan taktikal yang sama dan tidak akan memandang remeh kelebihan yang mereka ada dan kami juga perlu bermain dengan kemampuan kami.
“Seperti Pakistan, kami tahu ia akan sukar. Hari ini pun kita nampak ada masalah. India mungkin juga menggunakan kepantasan mereka dan kami perlu melihat dan mereka (pemain), perlu faham. Apabila mereka bermain pantas, apakah yang terbaik yang boleh mereka lakukan?
“Selain itu, pemain juga perlu pandai menyesuaikan diri dengan keadaan di padang terutamanya ketika serangan balas, apabila bola berada di luar permainan dan juga ketika melakukan ‘marking’ di kawasan 23 meter.
“Saya rasa ini adalah aspek yang perlu mereka pelajari dan perbaiki dengan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini menjelang perlawanan esok.
Skuad muda negara tumpas 2-7 kepada Pakistan pada aksi pembukaan sebelum mengikat Australia 1-1, menewaskan New Zealand 4-2 Selasa lalu dan tumpas 1-4 kepada The Great Britain semalam.
Mengulas mengenai isu pukulan sudut penalti (PC), Nor Saiful Zaini berkata, masalah sama turut dihadapi oleh kesemua pasukan yang bertanding kali ini.
Katanya, padang berkenaan juga dilihat sebagai faktor yang menafikan jaringan sama menerusi pukulan sudut penalti.
“Kami ada PC, tetapi kami perlu melihat keadaan padang kami yang ada sedikit masalah. Namun, saya tahu semua orang juga menghadapi masalah dengan padang.
“Kami ada PC, tetapi kami tidak menjaringkan gol. Itu yang saya katakan tadi. Kami perlu ada PC, kami perlu menjaringkan gol, barulah kami boleh mengimbangi permainan mereka,” katanya.
Secara keseluruhannya, Nor Saiful Zaini menyifatkan pemain India sangat tajam dan mempunyai kebolehan yang lebih tinggi daripada skuad muda negara.
“Kami akui perkara itu. Tetapi bila bermain secara satu pasukan, mungkin kami boleh bantu antara satu sama lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















