Mohd. Izani Mohd. Zain.

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Dapur Madani dan Mysiswa Job on Campus yang menelan kos RM46 juta dalam Belanjawan 2026 memberi kebaikan dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di kampus.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, inisiatif itu sudah tentu dapat membantu meringankan beban kewangan dan kos sara hidup sekali gus meningkatkan tahap kesejahteraan mahasiswa.

Jelas beliau, faktor kewangan sebelum ini seringkali menjadi hambatan kepada kesejahteraan mahasiswa.

“Kajian Indeks Kesejahteraan Pelajar (IKP) yang dilaksanakan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT menunjukkan kesejahteraan mahasiswa boleh terganggu jika mereka berhadapan dengan masalah kewangan termasuk soal makan dan minum serta kos sara hidup yang tinggi.

“Justeru, saya menyambut baik inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan mahasiswa kita dan fokus pembelajaran.

“Lebih-lebih lagi, pelaksanaan Dapur Madani turut menyerlah nilai-nilai baik seperti kerjasama dan empati kerana mahasiswa bergotong-royong dan masak bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Izani menambah, selain Dapur Madani, inisiatif Mysiswa Job on Campus sangat relevan dalam memupuk budaya berusaha gigih menambah pendapatan tanpa menunggu bantuan semata-mata.

“Ini umpama ‘beri pancing’ kepada mahasiswa untuk menambah rezeki dan suatu pengalaman yang bermakna sebelum menamatkan pengajian.

“Saya berharap mahasiswa di IPT dapat merebut peluang ini dan sama-sama mendapat manfaat daripada dua inisiatif ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast