KUALA LUMPUR – Komuniti pendaki mempersoalkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan sweeper kumpulan dalam insiden kematian seorang pendaki di puncak Gunung Liang, Perak semalam.
Menerusi pelbagai komen di laman Facebook, mereka meluahkan rasa terkilan kerana mangsa ditinggalkan sedangkan peranan MGP dan sweeper bagi memastikan keselamatan peserta setiap kumpulan pendakian dari mula hingga akhir ekspedisi.
Mereka turut kesal kerana seolah-olah tiada perasaan dalam kalangan pendaki dalam kumpulan yang sanggup turun awal demi kepentingan diri sendiri.
Malah tiada laporan kecederaan dibuat lebih awal oleh mereka kepada pihak terbabit sebaik sampai di kaki gunung.
Ini kerana MGP adalah individu yang bertanggungjawab membantu pendaki, menjaga keselamatan mereka serta bertindak sebagai penunjuk arah di dalam hutan simpanan.
Malah peranan mereka jauh lebih luas daripada sekadar memandu, meliputi kerja-kerja pemuliharaan hutan dan khidmat komuniti.
Dalam konteks mendaki, seorang sweeper pula adalah individu yang berada di barisan belakang untuk memastikan tiada pendaki yang tertinggal, memastikan semua selamat dan membantu jika ada ahli yang memerlukan pertolongan atau semangat.
Sementara itu, media hari ini melaporkan polis menahan dua malim gunung berusia 40-an bagi membantu siasatan tidak memiliki permit sah untuk memasuki kawasan hutan simpan di Perak, susulan kematian seorang pendaki di Gunung Liang dekat Tanjong Malim, yang ditemukan semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, SAC Mohammad Azlin Sadari berkata, semakan mendapati kumpulan itu hanya mempunyai permit sah bagi laluan di Bukit Fraser, Pahang iaitu lokasi mereka memulakan aktiviti mendaki.
“Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, bagaimanapun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya.
Mohammad Azlin memberitahu, mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah meninggal dunia kerana masalah kesihatan dan bukan disebabkan jatuh.
“Mangsa sebelum itu mengalami kecederaan dan apabila kesemua pendaki turun, hanya mangsa yang tidak muncul,” katanya.
Mohammad Azlin berkata, mangsa mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser menuju ke puncak sebelum turun melalui laluan Gunung Liang.
Beliau berkata, usaha membawa turun mayat sedang dijalankan pihak berkuasa bersama-sama pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Semalam, JBPM Perak memaklumkan mangsa yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat pada 3.30 petang, dan usaha membawa turun mayat dilakukan hari ini. – MalaysiaGazette
















