KUALA LUMPUR – Pas Seremban menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan hukuman denda dan rotan terkawal di sekolah sebagai langkah pendidikan serta pencegahan terhadap salah laku pelajar.
Langkah itu bukan bertujuan untuk menzalimi pelajar, sebaliknya bagi mengembalikan budaya hormat dan disiplin yang semakin terhakis dalam kalangan generasi muda.
Yang Dipertuanya, Rosmin Adam berkata, peningkatan kes jenayah dan insiden tragis seperti rogol, amang seksual, pergaduhan serta kematian pelajar menunjukkan tahap keselamatan di sekolah kini berada pada tahap membimbangkan.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat mendidik dan membentuk sahsiah tetapi kini bertukar menjadi lokasi kepada insiden yang meragut nyawa dan maruah pelajar.
“Oleh itu, kami menuntut tindakan segera dan menyeluruh daripada kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), untuk menilai semula pendekatan keselamatan, moral dan kerohanian dalam sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rosmin, selain hukuman rotan, pendidikan kerohanian juga perlu diperkasakan di semua peringkat sekolah bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut berakhlak, berdisiplin dan memiliki nilai takut kepada Tuhan.
“Tanpa elemen ini, sistem pendidikan hanya akan melahirkan pelajar yang cerdik akal tetapi kosong jiwa hingga akhirnya terjebak dalam pelbagai bentuk jenayah dan salah laku.
“Selain itu, keselamatan pelajar bukan tanggungjawab pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang benar-benar selamat.
“Program bimbingan kerohanian dan sahsiah perlu dilaksanakan secara berkala di sekolah, masjid dan surau berhampiran manakala guru kaunseling diberikan latihan khas dalam aspek bimbingan spiritual dan pengurusan emosi pelajar,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya pendidikan negara dikembalikan kepada asas Islam bagi membentuk insan beriman dan berakhlak tinggi bukan sekadar pelajar yang bijak berfikir. – MalaysiaGazette















