Net7 dibangunkan khusus untuk mengurus dan memperkayakan data kad perniagaan secara automatik.

KUALA LUMPUR –  MoneyX bersama Mandrill Tech Sdn. Bhd. melancarkan sistem pengurusan hubungan pelanggan (CRM) pintar bertenaga kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia dikenali Net7.

Ia dibangunkan khusus untuk mengurus dan memperkayakan data kad perniagaan secara automatik.

Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Technologies Solutions Bhd, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, Net7 akan membantu profesional dan syarikat mengurus, menjejak serta memperkukuh jaringan perniagaan mereka dengan lebih efisien melalui penggunaan analitik pintar dan teknologi pembelajaran mesin (ML).

Menurutnya, sistem itu melambangkan konsep jaringan tanpa sempadan di tujuh benua dan menjadi pemangkin kepada cara baharu syarikat membina hubungan perniagaan.

“Tidak seperti aplikasi hubungan tradisional yang hanya menyimpan nombor telefon dan alamat e-mel, Net7 menukar data hubungan mentah kepada profil perniagaan yang boleh dicari, dikategorikan secara automatik dan diperkaya dengan maklumat tambahan berasaskan AI.

“Gabungan inovasi AI dan kecerdasan CRM menjadikan setiap kad nama bukan sekadar hubungan tetapi peluang sebenar untuk pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Antara kelebihan utama platform itu termasuk pengurangan kerja kemasukan data manual sehingga 99 peratus, pengelasan pintar berdasarkan industri dan jawatan, serta perkongsian maklumat korporat yang memastikan semua kenalan perniagaan kekal menjadi aset syarikat.

Eddie menambah, Net7 dibangunkan dengan ciri keselamatan kukuh serta kemampuan untuk beroperasi di peringkat global di mana direka untuk sektor perbankan, insurans, runcit dan pelbagai industri lain.

Jelas beliau, ia turut mematuhi piawaian keselamatan ISO 27001, peraturan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan menyokong amalan digital hijau dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kad nama fizikal.

“Platform ini turut disepadukan dengan pelbagai sistem CRM utama, menjadikannya mudah digunakan oleh pasukan jualan korporat dan perusahaan kecil sederhana (PKS) yang ingin mempertingkat kecekapan dan produktiviti.

“Net7 juga seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab inovasi serantau dengan menggalakkan penggunaan teknologi AI dalam operasi perniagaan dan pengurusan data,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast