Azizee.

GEORGE TOWN – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun hingga mendatangkan kecederaan terhadap bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di Taman Pekaka, Sungai Dua di sini, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditahan jam 2.30 petang di Bayan Baru dekat sini, oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Timur Laut.

“Suspek yang ditahan itu mempunyai 13 rekod lampau membabitkan tiga kes jenayah dan 10 kes dadah.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah esok dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mengulas mengenai mangsa, Azizee berkata, mangsa berusia 74 tahun itu menerima 16 jahitan di kepala akibat kecederaan yang dialami dalam kejadian tersebut.

”Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi ketika mangsa baru pulang dari masjid sebelum menyedari suspek bersembunyi di tepi halaman rumahnya.

“Apabila mangsa menghampiri suspek, lelaki itu mengacukan dan menyerangnya menggunakan satu objek hitam sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar rumah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan bekas bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terpaksa menerima 15 jahitan di kepala  akibat disamun ketika pulang dari menunaikan solat Subuh berhampiran rumahnya di Taman Pekaka di sini.

Dalam kejadian itu, beliau dipercayai dihentak dengan objek menyerupai pistol sebelum suspek melarikan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast