Dari kiri Siva Kumar, Anuar dan Padhil selepas sesi soal jawab bersama-sama Ranhill SAJ dan Persatuan Penjagaan Alam Sekitar Bumi Hijau Negeri Johor (GES) di Pejabat SPAN Wilayah Selatan di Medini, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor memerlukan projek skim bekalan air baharu yang mampu membekalkan sekurang-kurangnya 700 juta liter sehari (JLH) air terawat bagi menampung permintaan bekalan air berdasarkan unjuran sehingga 2032.

Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Selatan (Johor), Ts Padhil Abdul Hadi berkata, ketika ini sebahagian kawasan Kota Tinggi dan Johor Bahru terutama di Ulu Tiram masih bergantung kepada bekalan air terawat Public Utilities Board (PUB) Singapura.

Jelasnya, kebergabtungan itu melibatkan 73JLH berkala berbanding kapasiti 22.7JLH yang dipersetujui di dalam Perjanjian Air Johor-Singapura 1962.

“Johor melaksanakan Projek Zero Dependency (Zero-D) bagi menghentikan kebergantungan kepada bekalan air dari PUB menerusi Projek Skim Bekalan Air Semangar yang mula beroperasi pada 2004 dengan kapasiti 159.1JLH (fasa 1) sebelum dipertingkatkan kepada 318.23JLH pada 2014.

“Bagaimanapun bekalan air terawat terbabit digunakan untuk menampung keperluan projek pembangunan di Kulai, Senai dan Iskandar Puteri.

“Ia menyebabkan bekalan air di sebahagian Kota Tinggi, Johor Bahru dan Tiram masih bergantung kepada bekalan air terawat PUB sebanyak 73JLH berbanding kapasiti 22.7JLH yang dipersetujui di dalam Perjanjian Air Johor-Singapura 1962,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama-sama Ranhill SAJ dan Persatuan Penjagaan Alam Sekitar Bumi Hijau Negeri Johor (GES) di Pejabat SPAN Wilayah Selatan di Medini di sini hari ini.

Padhil menjawab persoalan berkaitan visi Johor bagi mencapai sasaran sifar kebergantungan bekalan air di luar, sama ada boleh dicapai atau sebaliknya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani dan Pengerusi GES, P Siva Kumar.

Perjanjian Air Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada 2061, memberikan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Johor membeli air terawat daripada Singapura pada kadar RM0.50 setiap 1,000 gelen.

Berdasarkan rekod Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Johor kini membeli purata 16 juta gelen sehari (MGD) air terawat, jauh melebihi kadar lima juta MGD yang diperuntukkan dalam perjanjian.

Ini menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun ditanggung oleh Johor.

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, pelbagai projek ‘Zero Dependency’ sudah dirangka dan sedang dilaksanakan.

Antara projek utama adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Johor (Sungai Lebak), pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air Layang 2 dan Loji Rawatan Air Semangar 3.

Projek-projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti simpanan air mentah dan terawat, sekali gus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast