BUTTERWORTH – Pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan kini hampir selesai.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, rundingan bersama Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada pada peringkat terakhir sebelum diumumkan secara rasmi.
“Kita sudah berbincang bersama pimpinan PH dan BN selain kerjasama dengan rakan-rakan GRS. Pembahagian kerusi hampir selesai dan senarai calon kini dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Graduasi dan Pelancaran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Pangkalan Udara Butterworth hari ini.
Hadir sama Ketua Eksekutif LTAT, Mohamad Ashraf Md Radzi.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, Amanah akan menampilkan calon sendiri namun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi.
“Yang penting, Amanah tetap bertanding dalam PRN kali ini. Calon yang diketengahkan adalah nama tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dilapor menyasarkan parti itu bertanding maksimum tiga kerusi pada PRN Sabah namun jumlah sebenar masih melalui proses rundingan.
Katanya, keputusan akhir hanya akan diumumkan menjelang tarikh penamaan calon. – MalaysiaGazette
















