KUALA LUMPUR – Seramai 16 individu termasuk pegawai serta bekas pegawai institusi perbankan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sky pada Januari lalu kerana terlibat kegiatan rasuah dengan syarikat perunding kewangan bagi meluluskan pinjaman peribadi kepada pelanggan.
Mereka akan didakwa secara berperingkat sepanjang Oktober ini, menurut sumber SPRM.
SPRM telah mendapat izin mendakwa secara berperingkat individu-individu berkenaan di mana di Mahkamah Kuala Lumpur, dua pegawai bank telah dituduh semalam dan empat bekas pegawai bank didakwa hari ini.
Pertuduhan juga akan dijalankan di beberapa negeri antaranya di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, dan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.
Sumber berkata, mereka dipercayai menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan secara serentak sehingga menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman melebihi had kelayakannya.
Semua suspek akan dipertuduhkan di bawah Sek. 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan jumlah keseluruhan pertuduhan adalah sebanyak 349 dengan nilai terbabit keseluruhan berjumlah hampir RM2 juta. – MalaysiaGazette
















