PETALING JAYA – Laporan patologi kematian seorang pelajar perempuan yangditikam di sebuah sekolah baru-baru ini akan mengambil masa di antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya masih menunggu laporan patologi untuk mengenalpasti dan mengesahkan jumlah tikaman yang terdapat pada tubuh mangsa.
“Setakat ini laporan penuh belum diperoleh, kebiasaannya laporan patologi mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan sebelum sebarang pengesahan rasmi dapat dibuat.
“Hanya selepas laporan itu siap, barulah jumlah sebenar kesan tikaman dapat disahkan secara rasmi,” katanya dalam kenyataan pada pagi ini.
Shamsudin berkata demikian selepas ibu mangsa mendakwa menerima laporan bedah siasat yang dijalankan pihak patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya terdapat kira-kira 200 kesan tikaman pada tubuh anaknya.
Tambah beliau, insiden tragis ini masih dalam siasatan dan turut melibatkan seramai 127 orang saksi untuk memberikan keterangan dan membantu perjalanan kes ini.
“Kita telah memanggil seramai 127 saksi untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes ini.
“Manakala suspek utama yang ditahan masih direman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















