Ibu kepada Yap Shing Xuen, Wong Lee Ping kelihatan sedih ketika bercakap pada sidang media selepas memberi penghormatan terakhir di Nirvana Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 200 kesan tikaman ditemui pada badan pelajar perempuan berusia 16 tahun yang mati di dalam tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa lalu.

Ibu mangsa, Wong Lee Ping mendedahkan perkara tersebut berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan pihak patalogi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, kebanyakan kecederaan di bahagian badan sebelah kanan meliputi bahagian leher, termasuk paru-paru namun tiada kecederaan di muka mangsa.

Dalam pada itu, Lee Ping memohon netizen menghentikan penyebaran cerita tidak benar mengenai anaknya termasuk dakwaan dia dirogol.

“Anak saya sudah menjadi mangsa (bunuh). Tolong hentikan semua cerita palsu!

“Anak saya berada Tingkatan 4, dia tidak pernah mengenali atau berhubung dengan suspek malah tiada surat, mesej berkaitan walaupun mereka satu sekolah,” katanya dalam sidang media di Nirvana Memorial Center hari ini.

Ibu kepada Yap Shing Xuen, Wong Lee Ping kelihatan sedih ketika bercakap pada sidang media selepas memberi penghormatan terakhir di Nirvana Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2025.

Ibu kepada dua anak itu menambah, suspek dipercayai memasuki ruang tandas melalui bahagian atas dan bertindak menikam mangsa sebelum melompat keluar dari tempat itu.

“Anak saya sempat menjerit selepas kejadian di dalam tandas dan guru mendengarnya tapi dia terkunci di dalam dengan keadaan yang berlumuran darah,” ujarnya dalam keadan sebak.

Dalam pada itu, Lee Ping berharap pihak berkuasa dapat memberikan keadilan sewajarnya kepada anaknya serta mempertingkatkan keselamatan di sekolah.

Ujarnya lagi, ahli keluarga turut membuat laporan polis menafikan dakwaan bapa saudara mangsa, Wong Yoon Kim adalah bapa kandung suspek seperti tular di media sosial.

Ditanya mengenai keperibadian anaknya itu, Lee Ping berkata dia seorang introvert, pelajar yang cemerlang, aktif bersukan dan seorang berdikari.

“Dua hari sebelum kejadian, anak saya memenangi kejohanan badminton di ibu negara dan pasukannya mendapat tempat kedua, dia juga aktif bersukan termasuk bola tampar,”katanya.

Ibu, Wong Lee Ping (tengah) dan bapa tiri, How Boon Chin tidak dapat menahan sebak ketika sidang media selepas hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada anaknya, Yap Shing Xuen yang maut akibat ditikam rakan sekolah ketika di Nirvana Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2025.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mengubahsuai poster jemputan QR yang dikongsi untuk tujuan sumbangan, selepas terdapat penipuan menggunakan kod berkenaan.

MalaysiaGazette difahamkan mayat mangsa dijangka akan disemadikan pada 20 Oktober ini selepas semua urusan pengebumian selesai.

Pada Selasa lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 maut dipercayai ditikam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya sekitar jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek berusia 14 tahun telah ditahan, manakala dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast