KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang terjatuh dari kediaman kolej semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan menunjukkan kematian pelajar tersebut disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh daripada tempat yang tinggi.
“Mangsa juga didapati mengalami kecederaan di bahagian dada, selain tiada kesan jerutan serta sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Bedah siasat telah dijalankan di bilik bedah siasat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) antara jam 10 malam sehingga jam 3 pagi tadi.
Tambahnya, mayat mangsa dituntut oleh keluarganya pada pagi ini. – MalaysiaGazette
















