Tangkap layar kamera litar tertutup suspek pecah rumah.

KUALA LANGAT – Seorang lelaki memakai topi keledar berwarna merah telah diburu polis kerana dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah di Jalan 18, Taman Baiduri, Banting awal pagi Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa warga tempatan berusia 53 tahun pukul 7.40 pagi.

“Berdasarkan siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku pukul 6 pagi memaparkan suspek memasuki ke dalam rumah”.

“Pengadu mendakwa barang di tingkat bawah rumahnya berada dalam keadaan berselerak dan pemeriksaan mendapati wang yang disimpan dalam almari di ruang tamu telah tiada.

“Semakan CCTV mendapati ketika kejadian suspek berpakaian gelap, bertopi keledar warna merah dan bersarung tangan”, ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Akmalrizal turut menambah, dalam kejadian itu, mangsa turut mengalami kerugian kira-kira RM3,000 dan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Susulan itu orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast