Gambar daripada video yang tular melibatkan perjumpaan pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar sekolah.

 

KUALA LUMPUR – Pengetua sebuah sekolah di Petaling Jaya memohon maaf kepada ibu bapa atas tragedi yang menimpa sekolah tersebut baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video tersebut tular di TikTok, permohonan maaf itu berlaku pada pertemuan antara pihak sekolah dan ibu bapa.

“Saya bagi pihak sekolah memohon maaf atas kejadian yang berlaku, tiada siapa yang hendak perkara ini berlaku, tetapi ia sudah berlaku.

“Bukan mudah untuk saya mentadbir dan menjaga pelajar sekolah seramai 1,197 orang”, luah pengetua terbabit.

Sekolah berkenaan terlibat dalam kejadian pembunuhan pelajar tingkatan 4 oleh murid tingkatan 2 baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, pengetua berkenaan berkata, pihak sekolah akan bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Pegetua itu turut meminta ibu bapa memberi cadangan yang wajar atau ruang pihak sekolah laksanakan demi keselamatan para pelajarnya.

“Kalau ibu bapa yang ada cadangan atau ruang untuk bertindak yang kami rasa wajar, kami akan buat. Asalkan anak-anak dapat belajar dengan selesa dan selamat,” ujarnya.

Pengetua itu berkata, pihak sekolah sangat terkesan dengan insiden yang berlaku dan memohon ibu bapa untuk memahami beban yang dipikul.

“Saya hargai sokongan ibu bapa dalam hal ini. Jadi mohon sangat faham kami kerana kami juga terkesan,” katanya.

Dalam kejadian 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan 16 tahun maut selepas ditikam beberapa kali seorang pelajar lelaki.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian dikatakan sekitar jam 9.30 pagi, berlaku di luar bilik darjah berhampiran kawasan tandas perempuan.

Dua senjata tajam dipercayai digunakan oleh suspek, pelajar lelaki berusia 14 tahun  telah dirampas polis.

Shamsudin berkata, siasatan awal mendapati terdapat beberapa tikaman di bahagian badan mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast