Gambar hiasan

Oleh: Dr. Ahamad Jama’Amin Yang

FALSAFAH Pendidikan Kebangsaan (FPK) digubal dengan aspirasi luhur untuk membentuk insan yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ia menjadi tonggak moral serta panduan intelektual bagi seluruh sistem pendidikan negara. Namun setelah lebih tiga dekad dilaksanakan, semangat falsafah tersebut semakin pudar dalam realiti kehidupan masyarakat yang berdepan krisis kemanusiaan yang membimbangkan.

Peningkatan gejala sosial yang merosakkan tatasusila bukan sekadar petanda keruntuhan nilai tetapi menunjukkan kegagalan mendalam dalam memahami makna pendidikan itu sendiri. Pendidikan pada hari ini sering disempitkan dalam kerangka prestasi akademik dan pencapaian angka. Ia diukur melalui kelulusan, markah dan sijil semata-mata, sedangkan asas falsafahnya menuntut lebih daripada sekadar kecemerlangan kognitif.

Sistem ini telah melahirkan generasi yang cerdas secara teknikal namun gersang secara spiritual. Mereka mahir menggunakan teknologi tetapi kehilangan empati, fasih berhujah tetapi lemah dalam menghormati, pandai menyoal tetapi gagal memahami makna. Inilah paradoks pendidikan moden yang mengkhianati tujuan asalnya. FPK tidak gagal sebagai idea, tetapi kegagalan berlaku apabila roh falsafahnya tidak dihayati dalam amalan pendidikan.

Apabila ilmu dipisahkan daripada nilai rohani, maka pendidikan kehilangan pedoman moralnya. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengingatkan bahawa pendidikan sejati ialah proses ta’dib atau penanaman adab. Adab bukan sekadar kesantunan luaran tetapi kesedaran tentang kedudukan dan tanggungjawab manusia dalam tertib kewujudan. Ilmu tanpa adab menghasilkan manusia berpengetahuan tetapi tidak berakhlak, bijak berhujah tetapi tidak berhikmah. Dalam kerangka FPK, kepercayaan kepada Tuhan merupakan asas yang menolak pemisahan antara ilmu dan nilai. Namun realiti masa kini menunjukkan materialisme dan pragmatisme telah menyingkirkan aspek moral daripada sistem pendidikan yang sepatutnya membentuk keinsanan.

Kegagalan pendidikan juga berpunca daripada keruntuhan sistem nilai dalam masyarakat. Sekolah yang dahulunya dianggap medan pembinaan budi kini menjadi kilang
pencetak sijil. Kejayaan anak dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan, bukan kehalusan peribadi. Guru yang suatu ketika dahulu disanjung kini sering diperlekeh dan diserang apabila menjalankan tanggungjawab mendidik disiplin. Ibu bapa menuntut hak tanpa memahami makna tanggungjawab, manakala masyarakat hilang hormat terhadap autoriti moral pendidikan. Keadaan ini menandakan bahawa pendidikan telah kehilangan wibawa untuk membentuk jiwa dan membina peradaban.

Ibn Khaldun dalam Muqaddimah menegaskan bahawa pendidikan mesti menggabungkan kasih sayang dan ketegasan. Pendidikan bukan sekadar pemindahan ilmu tetapi latihan jiwa dan pembentukan akal budi. Namun pendekatan ini semakin dianggap kolot dan tidak relevan dalam masyarakat moden yang mengagungkan ujian dan pentaksiran. Akibatnya, sistem pendidikan berubah menjadi mekanisme hafalan, bukan pemahaman. Murid dilatih untuk bersaing, bukan berfikir. Mereka pandai mencari jawapan tetapi tidak mampu menyoal makna. Keadaan ini menandakan kecacatan epistemologi yang serius dalam falsafah pendidikan nasional.

FPK menuntut keseimbangan insan yang berkembang secara menyeluruh, tetapi keseimbangan itu kini tergugat oleh tekanan ekonomi, ledakan teknologi dan budaya
konsumerisme. Pelajar dibesarkan dalam sistem yang menilai manusia berdasarkan keupayaan material, bukan kebijaksanaan moral. Mereka dididik untuk mengejar
kemewahan, bukan kesejahteraan. Dalam suasana ini, pendidikan gagal berfungsi sebagai suara hati nurani bangsa. Ia tunduk kepada logik pasaran dan kehilangan jati diri sebagai wahana pencerahan manusia.

Persoalan pokok yang perlu direnungi ialah mengapa masyarakat berpendidikan masih gagal membina manusia yang beradab. Kita memiliki sekolah moden, universiti
canggih dan kurikulum lengkap, namun masih bergelut dengan budaya kekerasan, kebencian dan hilang empati. Jawapan kepada persoalan ini terletak pada kehilangan makna pendidikan itu sendiri. Pendidikan moden menekankan kemahiran tetapi mengabaikan kebijaksanaan, menyanjung kemajuan tetapi melupakan kebenaran.

Dalam hal ini, pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Imam al-Ghazaliharus diangkat kembali. Kedua-dua tokoh ini menegaskan bahawa tujuan pendidikan bukan
sekadar melahirkan manusia yang berilmu tetapi insan yang mengenal Tuhannya. Tanpa kesedaran spiritual, manusia mudah menjadi alat kepada sistem yang menindas dan tidak bermoral. Pendidikan yang menumpukan kepada kemahiran teknikal semata-mata akhirnya melahirkan manusia efisien tetapi kehilangan makna hidup. Inilah krisis rohani yang sedang menimpa generasi kini, berpendidikan tinggi namun terasing daripada nilai kemanusiaan dan keadaban.

Dalam konteks global, FPK sebenarnya jauh lebih mendalam berbanding model pendidikan Barat yang bersifat sekular. Laporan UNESCO Learning: The Treasure Within
(1996) menegaskan empat tonggak pendidikan iaitu belajar untuk mengetahui, melakukan, menjadi dan hidup bersama. Namun FPK telah mengandungi prinsip serupa jauh lebih awal dengan dasar yang berpaksikan keimanan. Ini membuktikan bahawa falsafah pendidikan Malaysia bukan sahaja relevan tetapi mendahului zamannya. Masalahnya bukan pada falsafah, tetapi pada kegagalan pelaksanaan yang meminggirkan nilai kemanusiaan.

Pendidikan mesti kembali kepada misinya untuk memanusiakan manusia. Sekolah perlu menjadi ruang pembentukan nilai, bukan sekadar medan penilaian. Guru perlu
dikembalikan martabatnya sebagai pendidik dan pemimpin moral. Ibu bapa harus memahami bahawa mendidik bukan sekadar menghantar anak ke sekolah tetapi membimbing jiwa dan akhlak mereka. Negara pula mesti berani menilai semula sistem yang terlalu berpaksikan pasaran sehingga melupakan tujuan asal pendidikan sebagai pembina tamadun.

FPK merupakan warisan intelektual bangsa yang lahir daripada iltizam untuk membina peradaban. Ia bukan sekadar dokumen dasar tetapi gagasan moral yang menuntut
penghayatan mendalam. Sekiranya roh falsafah ini dihidupkan semula, pendidikan akan kembali menjadi benteng terakhir mempertahankan makna kemanusiaan. Dalam dunia yang semakin kehilangan nilai, pendidikanlah yang harus mengembalikan manusia kepada fitrah asal agar kemajuan tidak menjadi racun dan ilmu tidak berubah menjadi alat kehancuran.

Dr. Ahamad Jama’Amin YangPenulis merupakan Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, KedahFelo Bersekutu, Royal Historical Society, United Kingdom

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast