Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Air Terjun Sungai Teroi, Rimba Rekreasi Lubuk Kawah, di Yan, kira-kira 40 kilometer dari sini, petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.18 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bomba dimaklumkan bahawa seorang remaja lelaki dipercayai lemas ketika mandi di kawasan air terjun bersama rakan-rakannya.

“Operasi mencari di permukaan air dilakukan sebelum anggota turut menyusuri sungai bagi mengesan mangsa. Remaja berkenaan ditemukan pada pukul 8.40 malam kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast