SEOUL – Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang guru kerana membunuh murid perempuan berusia lapan tahun.
Myeong Jae-wan, 48, didapati bersalah kerana membunuh Kim Hae-neul selepas memujuk mangsa masuk ke dalam bilik darjah di bandar Daejeon pada Februari lalu.
Pihak pendakwa menuntut hukuman mati, atas permintaan keluarga mangsa yang mahu hukuman berat dijatuhkan.
Namun mahkamah menyatakan walaupun risiko untuk Myeong mengulangi perbuatan itu tinggi, adalah “sukar untuk memutuskan” bahawa hukuman mati wajar dijatuhkan.
Myeong dalam keterangannya berkata, dia akan menyesali kesilapannya sepanjang hayat dan mendakwa ketika kejadian, pertimbangannya terjejas kerana sedang menerima rawatan kesihatan mental.
Pendakwa raya bagaimanapun menyatakan Myeong tidak menunjukkan sebarang penyesalan sepanjang siasatan dijalankan, meskipun mengemukakan puluhan surat kepada mahkamah menyatakan rasa kesal.
Menurut pejabat pendidikan Daejeon, Myeong pernah memohon cuti enam bulan kerana kemurungan, tetapi kembali mengajar selepas 20 hari dinilai layak bekerja oleh doktor.
Beberapa hari sebelum kejadian, dia dikatakan bertindak agresif termasuk mencekik seorang guru lain.
Pada pagi hari kejadian, dua pegawai pendidikan telah hadir ke sekolah bagi menyiasat insiden itu.
Myeong memberitahu polis dia membeli senjata pada hari kejadian dengan niat untuk membunuh diri bersama seorang murid secara rawak, sebelum memujuk Kim masuk ke bilik media dan menikamnya.
Kim dilaporkan hilang selepas pemandu bas sekolah memaklumkan dia tidak berada di perhentian.
Mangsa kemudian ditemui mati dalam kawasan sekolah dengan kesan tikaman, manakala Myeong turut mengalami luka di leher dipercayai akibat percubaan membunuh diri.
Kerajaan Korea Selatan ketika itu menyeru langkah keselamatan diperketat bagi mengelak insiden serupa berulang.
Selain hukuman penjara seumur hidup, mahkamah turut memerintahkan Myeong memakai alat pengesan lokasi elektronik selama 30 tahun.
“Sebagai guru sekolah rendah, tertuduh sepatutnya melindungi muridnya. Namun, dia melakukan jenayah kejam ini di tempat yang sepatutnya paling selamat untuk seorang kanak-kanak.”,” kata mahkamah dalam penghakiman pada Isnin.
















