KEPALA BATAS – Keputusan Barisan Nasional (BN) Sabah untuk bertanding secara solo dan menggunakan logo parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 merupakan manifestasi autonomi yang diberikan kepimpinan pusat kepada UMNO negeri itu, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menegaskan keputusan itu adalah hasil strategi yang diputuskan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan disokong presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, Sabah mempunyai latar politik yang berbeza daripada Semenanjung, justeru keputusan dan strategi pilihan raya bukan ditentukan dari Kuala Lumpur.

“Sabah ini ada latar beza, kita tak boleh nak kawal pandangan dan hati orang Sabah dan kita kena hormatinya. Sebab itu UMNO mengambil pendirian bahawa Sabah ini autonomi bukan keputusan dibuat oleh Kuala Lumpur (peringkat pusat).

“Malah Presiden parti (Ahmad Zahid) merupakan individu pertama yang memberikan autonomi penuh kepada pimpinan negeri untuk menentukan hala tuju parti di Sabah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Reezal Merican, pihaknya juga yakin kerjasama dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan akan membantu memastikan kestabilan politik negeri Sabah.

“Saya harapkan BN, UMNO dan juga Pakatan Harapan yang menjadi rakan dalam perpaduan kita, dapat membawa pembentukan kerajaan yang lebih stabil dan baik di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pandangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai keputusan BN bertanding solo di Sabah, Reezal Merican menyifatkan pandangan dikemukakan bekas Ketua Pemuda UMNO itu berniat baik bagi mengukuhkan BN.

“Saya anggap KJ macam penganalisis politik yang mempunyai pengalaman lebih lapan tahun sebagai menteri serta latar akademiknya dalam bidang Philosophy, Politics and Economics (PPE) di Universiti Oxford.

“Walaupun dia (KJ) sekarang bukan dalam parti mana-mana, saya tahu hati dia masih sayang UMNO, BN dan pandangannya itu berniat baik untuk mengukuhkan BN,” katanya.

Khairy Jamaluddin berpendapat keputusan BN bertanding secara solo di Sabah adalah faktor unik negeri itu.

Beliau berkata, keadaan politik Sabah berbeza dengan Semenanjung, selain menyifatkan PN berdepan kesukaran di negeri itu susulan ketiadaan jentera akar umbi dan penghijrahan kepimpinan kepada GRS.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast