Anggota penguatkuasa memeriksa barangan makanan seperti mi kuning, kuey teow, laksa dan tempe yang menggunakan logo halal tanpa kebenaran JAKIM dalam sebuan ke atas sebuah kilang di Sungai Petani. - Foto ihsan KPDN

SUNGAI PETANI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu kilang sebuah syarikat memproses makanan di sini yang dikesan menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa pada produk keluaran mereka.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dijalankan ke atas kilang pembuatan mi, kuetiau, laksa, tauhu dan tempe di Bedong dan stor simpanan di Jalan Angsana, pada 11 pagi semalam.

Beliau berkata operasi bersepadu KPDN Kedah bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah itu, merangkumi pemeriksaan perakuan dan penandaan halal yang digunakan oleh premis, status pensijilan halal, serta penguatkuasaan di bawah akta KPDN.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke atas produk dikeluarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kilang berkenaan memproses produk makanan terbabit dalam pelbagai saiz dan dipercayai diedarkan ke pasaran di seluruh negara.

Muhammad Nizam berkata, sitaan turut dibuat terhadap produk berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM87,057.

“Kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast