Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Had subsidi petrol RON95 kepada pemandu e-hailing yang bekerja secara sepenuh masa sepatutnya dinaikkan sekurang-kurangnya sehingga 1,000 liter sebulan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, had 600 liter seperti yang ditetapkan menerusi inisiatif Budi Madani RON96 (BUDI95) ketika ini jelas menunjukkan kerajaan gagal memahami denyut nadi rakyat dan tidak berpijak pada realiti hidup rakyat.

Menurut beliau, pemandu e-hailing sepenuh masa menggunakan antara 900 hingga 1,500 liter sebulan, sekali gus perlu membayar harga petrol tanpa subsidi sebanyak RM2.60 seliter dengan kos tambahan sehingga RM500.

Sedangkan, ujarnya, para pemandu berkenaan ketika ini sudah sedia terbeban dengan harga barang, sewa rumah dan kos penyelenggaraan kenderaan yang semakin meningkat.

Lebih malang, tambahnya, pemandu e-hailing separuh masa  kebanyakannya rakyat biasa yang mencari rezeki sampingan selepas waktu kerja hanya layak menerima 300 liter subsidi, sama seperti pengguna biasa.

“Ini bukan bantuan, ini hukuman terhadap rakyat yang berusaha keras mencari rezeki tambahan.

“Apakah kerajaan tidak sedar tanpa pemandu e-hailing ini, bandar-bandar besar akan lumpuh?

“Apakah mereka lupa bahawa rakyat kecil inilah yang menggerakkan ekonomi harian, bukan menteri yang duduk selesa di pejabat berhawa dingin?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Tun Faisal, terdapat pemandu e-hailing yang terpaksa bekerja 14 jam sehari semata-mata untuk menampung kos hidup, namun kerajaan masih berbangga kononnya “menyantuni rakyat”.

Realitinya, dakwa beliau, dasar itu mendera rakyat kecil dan menutup mata terhadap penderitaan sebenar di jalan raya.

Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan perlu menetapkan kadar khas subsidi petrol untuk pemandu separuh masa supaya mereka tidak terus terhimpit oleh dasar berat sebelah tersebut.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga perlu mendedahkan data dan justifikasi sebenar di sebalik dasar 600 liter yang ditetapkan sama ada ia berpaksikan realiti penggunaan atau sekadar keputusan politik untuk menutup kelemahan fiskal kerajaan.

“PM10 dan Kerajaan PH-BN sepatutnya memikirkan jalan untuk mengurangkan beban pemandu e-hailing yang membantu mengurangkan kesan kecacatan sistem pengangkutan awam dan memudahkan pengangkutan rakyat,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast