Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr.Mohd Na’im Mokhtar memberi jaminan tiada sebarang usaha ‘cover up’ akan berlaku dalam siasatan berhubung dakwaan seorang bekas kakitangan sebuah badan berkanun yang disyaki terbabit rasuah sindiket penyelewengan dana bantuan zakat.

Menurutnya, mana-mana pegawai atau kakitangan yang terlibat akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tegas beliau, kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa dan dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan.

“Saya dimaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan salah laku ini.

“Keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh kepada warga kerja lain serta masyarakat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas kakitangan sebuah badan berkanun direman empat hari kerana disyaki terbabit rasuah sindiket penyelewengan dana bantuan zakat.

Penyelewengan itu membabitkan peruntukan wang zakat bernilai RM120,000 yang diberikan kepada 28 pemohon yang tidak layak.

Sementara itu, Mohd Na’im menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi agama sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah.

Ujarnya, setiap laporan akan diteliti dan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa peringatan dan teguran telah berulang kali diberikan kepada semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama agar tidak sesekali mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk salah laku ditangani dengan tegas dan telus. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast