Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express, John Pearson melawat reruai pameran yang diadakan pada Sidang Kemuncak GoTrade DHL 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan ekonomi global ketika ini mengingatkan negara-negara ASEAN tentang pentingnya kecekapan dan kerjasama serantau yang kukuh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan dan berdaya tahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik perdagangan, dasar perlindungan dan gangguan rantaian bekalan, ASEAN perlu terus mengekalkan prinsip keterbukaan dalam menghadapi tekanan ekonomi global.

Hal ini kerana hubungan erat antara kerajaan dan sektor swasta juga perlu diperkukuh bagi memastikan rantau ini kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar.

“Ketidaktentuan ini mengingatkan kita tentang pentingnya kecekapan sebenar dan kerjasama serantau yang serius.

“Kita percaya bahawa dalam keadaan tidak menentu ini, ASEAN mesti terus menzahirkan prinsip keterbukaan dan perpaduan, termasuk memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak DHL GoTrade Summit 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, rantau ASEAN kini menjadi rangkaian penting dalam sistem bekalan global, selain berperanan sebagai hab pembuatan utama dan pasaran dinamik bagi lebih 680 juta penduduk, angka yang dijangka mencecah 700 juta tidak lama lagi.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia.

“Pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil tekad bersama untuk mengekalkan perdagangan bebas dan adil serta memanfaatkan kelebihan daya saing rantau ini,” tambahnya.

Anwar turut menegaskan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh peranannya sebagai hab pelaburan yang dipercayai, di samping memastikan perusahaan tempatan dan syarikat pemula (startups) tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global.

“Kerajaan terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui jaminan diperluas, kemudahan pembiayaan serta bantuan untuk berinovasi, mendigitalkan operasi dan bersaing secara yakin di pasaran antarabangsa.

“PKS dan syarikat multinasional bukan pesaing, sebaliknya rakan strategik dalam membina ekosistem inovatif yang menjana pekerjaan serta kemakmuran bersama,” tambahnya.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited memperkukuh visi rantau itu yang berteraskan kesatuan, keterbukaan dan pembangunan inklusif, seiring dengan ASEAN Vision 2045 yang menumpukan kepada kemampanan serta kesejahteraan sosial.

“Kemajuan ekonomi tidak seharusnya diukur hanya melalui angka, tetapi juga melalui maruah pekerjaan, kesejahteraan keluarga dan keadilan peluang,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa ASEAN kini perlu memberi perhatian kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang merangkumi hampir satu pertiga KDNK dan perdagangan dunia.

Menurut beliau, RCEP bukan sekadar satu perjanjian ekonomi, tetapi lambang komitmen strategik ASEAN terhadap keterbukaan serantau dan kemakmuran bersama.

“Malaysia mahu memastikan pelaksanaan RCEP memberi manfaat nyata kepada PKS, pekerja dan komuniti tempatan, bukan hanya syarikat multinasional,” tegasnya.

Tambahnya, pelaksanaan berkesan RCEP bergantung kepada kemampuan negara anggota untuk menerjemahkan komitmen kepada peluang sebenar yang dapat dimanfaatkan bersama.

Ini termasuk usaha menangani sekatan bukan tarif, memperkukuh fasilitasi perdagangan serta mengintegrasikan ekonomi digital dan peralihan hijau ke dalam sistem ekonomi global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast