Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Mangsa ceti haram dinasihatkan agar tidak membuat sebarang bayaran kepada pemberi pinjam wang tidak berlesen kerana aktiviti tersebut menyalahi undang-undang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, terdapat pihak yang menasihatkan mangsa supaya menyelesaikan ‘jumlah pokok pinjaman’ namun langkah itu adalah silap kerana jumlah yang disebut sebagai pokok itu bukan nilai sebenar yang dipinjam.

“Sebagai contoh, seseorang meminjam RM1,000 tetapi hanya menerima RM800 tunai. Apabila gagal membayar, pihak kedua menawarkan pinjaman baharu kononnya untuk melunaskan hutang pertama. Apabila gagal lagi, pihak ketiga pula menghubungi mangsa.

“Hakikatnya, semua pihak sama ada pertama, kedua, ketiga, keempat atau kelima adalah daripada sindiket yang sama. Apabila dikumpulkan, seolah-olah terdapat 10 pemberi pinjam wang berbeza sedangkan mangsa hanya menerima wang daripada pinjaman pertama sahaja,” katanya baru-baru ini.

Menurut Hishamuddin, wang yang dikatakan sebagai pinjaman baharu itu sebenarnya hanyalah kitaran semula dalam sindiket sama melalui proses yang dikenali sebagai overlapping.

“Ini bukan pinjaman biasa tetapi satu bentuk penipuan terancang dan teratur,” ujarnya.

Beliau menegaskan, mangsa tidak sepatutnya membuat sebarang bayaran kepada along kerana aktiviti tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Membuat bayaran bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah membuka ruang kepada penipuan berterusan,” katanya.

Lebih serius, tindakan itu boleh menyebabkan mangsa disiasat di bawah Seksyen 4(1)B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram kerana bayaran tersebut melibatkan hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Tambah beliau, selagi mangsa terus membuat bayaran, penderitaan mereka tidak akan berakhir malah akan menjadi lebih parah.

“Sekiranya ada mana-mana pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan atau agensi penguat kuasa menasihatkan mangsa supaya membayar kepada along, pihak tersebut juga boleh disiasat atas kesalahan bersubahat dengan sindiket di bawah undang-undang,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast