KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengeluarkan 81,880 saman hanya dalam tempoh 20 hari pelaksanaan Ops Patuh Undang-Undang (PUU) yang bermula 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Fadil Marsus berkata, angka itu membimbangkan kerana menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap pematuhan undang-undang masih rendah walaupun pihaknya telah memberi tempoh advokasi dan peringatan hampir sebulan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
Beliau menjelaskan, antara kesalahan tertinggi yang direkodkan sepanjang operasi berkenaan ialah halangan lalu lintas dengan 50,000 saman, diikuti kesalahan melanggar isyarat lalu lintas sebanyak 16,000 kes.
“Selebihnya melibatkan kesalahan seperti tidak memakai topi keledar dengan betul, tiada lesen memandu sah, melintasi garisan putih, meletak kenderaan di laluan pejalan kaki serta menyeberang jalan tanpa menggunakan jejantas atau lampu isyarat.
“Kesalahan ini nampak kecil, tetapi inilah yang mencerminkan tahap disiplin masyarakat. Kita mahu Kuala Lumpur tampil sebagai bandar yang memiliki masyarakat berdisiplin, beretika dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Ops Patuh Undang-Undang (PUU) yang diterajui Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, kempen tersebut turut menjadi asas pembentukan sikap warga kota menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus menonjolkan imej negara yang positif di mata dunia.
“Kalau kita tidak mula dari sekarang, sampai bila pun tiada perubahan. Sebab itu, Kuala Lumpur dijadikan permulaan. Kita akan kuatkuasakan operasi ini secara komprehensif bersama semua agensi dan jabatan, tanpa henti sepanjang tahun,” tegasnya.
Mohd Fadil menjelaskan, pelaksanaan operasi itu bertujuan mendidik masyarakat secara menyeluruh supaya mematuhi undang-undang, termasuk peraturan kecil seperti pematuhan undang-undang lalu lintas di ibu negara.
“Kita mahu mendidik masyarakat supaya patuh kepada undang-undang secara keseluruhan, bermula daripada perkara sekecil-kecil peraturan lalu lintas. Ini yang saya mahu ketengahkan.
“Kita sudah cuba pendekatan advokasi, tetapi apabila masih tiada perubahan, kita tiada pilihan selain meneruskan tindakan penguatkuasaan. Undang-undang dibuat untuk keselamatan semua pengguna jalan raya,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, sekiranya tahap kesedaran masyarakat masih tidak menunjukkan perubahan selepas beberapa bulan, pihaknya akan membawa isu tersebut ke peringkat lebih tinggi bagi mendapatkan dasar serta pendekatan baharu melibatkan semua kementerian dan lapisan masyarakat.
“Pendidikan dan pematuhan undang-undang ini bermula dari rumah. Jika semua orang patuh kepada peraturan sekecil-kecilnya, urusan akan menjadi lebih mudah dan Kuala Lumpur boleh muncul sebagai model masyarakat berdisiplin,” katanya. – MalaysiaGazette
















