MELAKA – Seorang pemuda direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini, kerana disyaki mencederakan seorang remaja perempuan menggunakan pisau ketika mangsa membonceng motosikal di Tangga Batu, di sini petang semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bermula hari ini sehingga 27 Oktober.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/10/20/remaja-ditikam-ketika-tunggang-motosikal-tak-kenal-suspek/
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang mencari saksi bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera selepas dipercayai dilibas senjata tajam ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu berlaku ketika mangsa sedang membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun.
Bagaimanapun tambahnya, operator kilang itu tiba-tiba merasakan sakit di belakang badan sebelum berhenti dan terkejut apabila mendapati pinggangnya sudah berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.
Susulan itu, mangsa dirawat di Zon Kuning selepas mengalami luka di belakang pinggang sepanjang tujuh sentimeter dan lebar tiga sentimeter. – MalaysiaGazette
















