Remaja perempuan yang dipercayai ditikam ketika sedang menunggang motosikal.

MELAKA – Memendam perasaan dipercayai menjadi punca seorang pemuda sanggup bertindak mencederakan seorang remaja perempuan menggunakan pisau ketika mangsa sedang membonceng motosikal di Tangga Batu, di sini petang semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, hari ini.

Tambahnya, suspek yang berusia 25 tahun itu juga beralamat di sekitar Tangga Batu, di mana lokasi kejadian berlaku.

“Hasil maklumat awal daripada suspek, dia memberitahu minat dengan mangsa.

“Namun kita masih melakukan siasatan lanjut terhadap dakwaan ini,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan, seorang pemuda direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini, kerana disyaki mencederakan remaja perempuan berkenaan.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu berlaku ketika mangsa sedang membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun menuju ke rumahnya di Batu 9, Tangga Batu, Tanjung Kling.

Bagaimanapun operator kilang itu tiba-tiba berasa sakit di belakang badan sebelum berhenti dan terkejut apabila mendapati pinggangnya sudah berlumuran darah.

Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka dan dirawat di Zon Kuning selepas mengalami luka di belakang pinggang sepanjang tujuh sentimeter dan tiga sentimeter lebar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast